PRU15: Pilihan raya paling penting dalam sejarah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah pilihan raya paling penting dalam sejarah, kata Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

- Advertisement -

“Ini pilihan raya paling penting dalam sejarah dan menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan kemenangan menjadi milik PN,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Justeru, katanya penting untuk setiap pengundi terutama golongan anak muda yang baru pertama kali mahu menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih dalam PRU15, untuk membuat keputusan yang betul memilih kerajaan yang berintegriti.

Beliau juga bersyukur ke hadrat Allah SWT dengan sambutan meriah ribuan penduduk pada program Jelajah Prihatin PERIKATAN NASIONAL di Sepang malam tadi. Turut berucap pada majlis itu ialah Ketua Penerangan PN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin.

Katanya, beliau pasti mereka adalah penyokong perjuangan dan wawasan PN untuk mewujudkan kerajaan yang Prihatin, Bersih dan Stabil (#PNBest).

Muhyiddin percaya mereka datang kerana ingin mendengar sendiri tawaran PN jika berjaya membentuk kerajaan pada PRU15.

“Saya berjanji sekiranya saya diberi mandat sekali lagi dan dipilih untuk memimpin Kerajaan PERIKATAN NASIONAL pada 19 November ini, perkara pertama yang akan kita buat adalah melaksanakan agenda penting membela nasib rakyat,” ujarnya.

Tambahnya, nasib kumpulan B40 dan anak-anak muda yang tidak ada pekerjaan adalah antara yang akan diberikan perhatian utama.

Menurutnya, bagi beliau dan pimpinan PN, soal mengurus kehidupan rakyat sama penting dengan soal menyelamatkan nyawa rakyat (lives and livelihoods).

“Ingin saya ingatkan bahawa ‘krisis’ belum berakhir. Krisis pada 19 November ini adalah untuk membuat keputusan yang kritikal mengenai parti yang akan menerajui negara,” ujarnya lagi.

Justeru, ujarnya pilihlah kerajaan yang prihatin dan peduli rakyat.

“Siapa yang saudara-saudari akan pilih? Sudah tentulah parti PERIKATAN NASIONAL,” katanya.

Beliau juga berharap jentera parti di Parlimen Sepang akan memberi sokongan tidak berbelah-bahagi kepada calon PN iaitu Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Harun. – HARAKAHDAILY 1/11/2022

- Advertisement -