Peguam Negara bukan jawatan politik

- Advertisement -

PAPARAN saya pada kali ini adalah untuk menegaskan bahawa jawatan Peguam Negara tidak diniatkan oleh penggubal Perlembagaan sebagai jawatan politik. Pada paparan ini juga saya ingin mencadangkan supaya kerajaan yang akan datang dapat meminda (balik) Perlembagaan Persekutuan untuk menjamin jawatan Peguam Negara ini tidak dicemari kepentingan politik pihak kerajaan atau mana-mana pihak.

- Advertisement -

Ketika ini kita banyak mendengar hal berkaitan Peguam Negara. Isu berkaitan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas banyak menjadi tajuk berita. Walaupun begitu, saya tidak mahu mengulas mengenai isu berkaitan Tan Sri Tommy Thomas. Saya ingin berkongsi mengenai kedudukan jawatan tersebut sebagaimana kedudukannya dalam undang-undang, terutamanya Perlembagaan Persekutuan. 

Dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 145 menyediakan peruntukan berkaitan Peguam Negara. 

Peruntukan asal Perkara 145

Perkara 145 ini telah dipinda daripada yang asal melalui Akta 26/1963 yang mula berkuat kuasa pada 16.09.1963. Perkara 145 yang asal memperuntukkan seperti berikut:

“(1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah, selepas berunding dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, melantik daripada kalangan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan seorang Peguam Negara, yang hendaklah seorang yang berkelayakan menjadi hakim Mahkamah Persekutuan.

(2) Peguam Negara hendaklah memberi nasihat mengenai perkara undang-undang yang dirujukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri, dan hendaklah

mempunyai kuasa, yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera.

(3) Peguam Negara berhak untuk didengar di dalam mana-mana mahkamah atau tribunal dan hendaklah diberi keutamaan daripada mana-mana orang lain yang hadir di hadapan mana-mana mahkamah atau tribunal itu.

(4) Tertakluk kepada Fasal (5), Peguam Negara hendaklah memegang jawatan sehingga dia mencapai umur enam puluh lima tahun atau lebih, tidak lewat daripada enam bulan selepas dia mencapai umur itu, sebagaimana yang diluluskan oleh Yang di-Pertuan Agong.

(5) Peguam Negara boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya tetapi tidaklah boleh dipecat daripada jawatan kecuali atas alasan-alasan dan mengikut cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan.

Antara intipati utama Perkara 145 yang asal ini termasuklah:

1. Peguam Negara dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (Nota: saya masih lagi mencari versi awal – versi 1957. Saya terbaca sebelum ini, versi asal menyatakan Yang di-Pertuan Agong melantik Peguam Negara atas syor Suruhanjaya Perkhidmatan Awam).

2. Seseorang layak dilantik sebagai Peguam Negara sekiranya beliau layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan. (Lihat Perkara 123 untuk syarat dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan).

3. Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atas perkara undang-undang yang dirujuk kepadanya.

4. Peguam Negara mempunyai kuasa budi bicara untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding di semua mahkamah, kecuali Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri dan Mahkamah Tentera.

5. Peguam Negara mempunyai keutamaan berbanding orang lain.

6. Umur persaraan Peguam Negara ialah 65 tahun atau tidak lebih enam bulan selepas mencapai umur 65 tahun tersebut sekiranya diluluskan oleh Yang di-Pertuan Agong.

7. Peguam Negara boleh meletak jawatan.

8. Peguam Negara hanya boleh dipecat atas alasan dan mengikut cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan. Alasan pemecatan seorang hakim yang ada sekarang ialah sekiranya dia melanggar kod etika, atau tidak berdaya menunaikan fungsinya dan tatacara pemecatan hakim Mahkamah Persekutuan ditetapkan pada Perkara 125. Ringkasnya hakim tersebut hanya boleh dipecat oleh satu tribunal yang ditubuhkan oleh Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat representatif daripada Perdana Menteri atau daripada Ketua Hakim Negara selepas berunding dengan Perdana Menteri.

Perkara 145 sekarang

Peruntukan Perkara 145 yang berkesan sekarang adalah menyatakan seperti berikut:

“Perkara 145. Peguam Negara

(1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri, melantik seorang yang layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara bagi Persekutuan.

(2) Menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang, dan melaksanakan apa-apa tugas lain yang bersifat undang-undang, yang dari semasa ke semasa dirujukkan atau ditugaskan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri, dan menunaikan fungsi yang diberikan kepadanya oleh atau di bawah Perlembagaan ini atau mana-mana undang-undang bertulis yang lain.

(3) Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera.

(3A) Undang-undang Persekutuan boleh memberi Peguam Negara kuasa untuk menentukan mahkamah yang di dalamnya atau tempat apa-apa prosiding yang dia mempunyai kuasa untuk memulakannya di bawah Fasal (3) itu hendaklah dimulakan atau mahkamah yang kepadanya prosiding itu hendaklah dipindahkan. (Nota: Fasal 3A ini ditambah pada pindaan Perlembagaan Akta A704, seksyen 10 yang mula berkuat kuasa)

(4) Pada melaksanakan tugasnya Peguam Negara berhak untuk didengar di dalam mana-mana mahkamah atau tribunal di Persekutuan dan hendaklah diberi keutamaan daripada mana-mana orang lain yang hadir di hadapan mahkamah atau tribunal itu.

(5) Tertakluk kepada Fasal (6), Peguam Negara hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dan, melainkan jika dia ialah anggota Jemaah Menteri, hendaklah menerima apa-apa saraan yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong.

(6) Orang yang memegang jawatan Peguam Negara sebaik sebelum permulaan kuat kuasa Perkara ini hendaklah terus memegang jawatan itu atas terma dan syarat yang tidak kurang baiknya daripada terma dan syarat yang terpakai baginya sebaik sebelum permulaan kuat kuasa Perkara ini dan tidaklah boleh dipecat daripada jawatan kecuali atas alasan dan mengikut cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan.”

Bagi memudahkan pada pembaca, saya ringkaskan intipati Perkara 145 yang beroperasi pada ketika ini seperti berikut:

1. Pelantikan Peguam Negara dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

2. Syarat untuk seseorang dilantik sebagai Peguam Negara ialah beliau layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan. Kelayakan menjadi hakim Mahkamah Persekutuan dinyatakan dalam Perkara 123 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan, seseorang itu hendaklah seorang warganegara; dan dia hendaklah mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya 10 tahun sama ada sebagai peguambela di Mahkamah Persekutuan, atau Mahkamah Rayuan, atau Mahkamah Tinggi, atau sebagai anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan Persekutuan atau perundangan sesuatu negeri, atau menjadi peguam bela dan berkhidmat sebagai anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan Persekutuan atau negeri selama sekurang-kurangnya 10 tahun.

3. Tugas Peguam Negara ialah untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai undang-undang.

4. Peguam Negara juga melaksanakan tugas lain berkaitan undang-undang sekiranya ditugaskan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri.

5. Peguam Negara juga mempunyai tugasan yang dinyatakan dalam undang-undang lain.

6. Peguam Negara mempunyai kuasa budi bicara untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan prosiding jenayah di semua Mahkamah, kecuali Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri dan Mahkamah Tentera.

7. Parlimen boleh membuat undang-undang untuk memberikan kuasa kepada Peguam Negara menentukan mahkamah bagi memulakan prosiding.

8. Parlimen boleh membuat undang-undang untuk memberikan kuasa kepada Peguam Negara memindahkan kes (dari satu mahkamah ke mahkamah lain).

9. Peguam Negara berhak untuk didengar dalam mana-mana mahkamah atau tribunal.

10. Peguam Negara hendaklah diberikan keutamaan daripada mana-mana orang lain yang hadir di hadapan mana-mana mahkamah atau tribunal.

11. Saraan (gaji) Peguam Negara adalah ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong sekiranya bukan ahli Jemaah Menteri.

12. Peguam Negara memegang jawatan selagi mana diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong. Ini bermaksud pemecatan Peguam Negara boleh dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong. Oleh kerana pelantikan Peguam Negara adalah atas nasihat Perdana Menteri, maka Perdana Menteri juga boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memecat atau menamatkan jawatan Peguam Negara.

13. Peguam Negara boleh meletak jawatan.

Analisis peruntukan lama dan baharu

Analisis perbezaan penting antara peruntukan lama dan peruntukan baharu dalam Perlembagaan mengenai Peguam Negara ialah dari segi pelantikan dan pemecatan. 

Perkara utama ialah Peranan Perdana Menteri dalam pelantikan dan pemecatan atau penamatan jawatan Peguam Negara. 

Peruntukan yang asal Perkara 145 meletakkan peranan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (pewujudan Suruhanjaya ini didapati dalam Perkara 138) untuk memberikan syor pelantikan Peguam Negara kepada Yang di-Pertuan Agong. Ini menunjukkan peri penting kebebasan Peguam Negara dalam melaksanakan tugasnya, agar keputusan atau nasihat Peguam negara adalah demi menjaga kedaulatan undang-undang. Kebebasan suatu jawatan, dalam kes ini Peguam Negara, dapat dilihat dari segi autoriti lantikan dan autoriti pemecatan atau penamatan perkhidmatannya. Dalam soal pemecatan juga, peruntukan asal lebih mementingkan kebebasan jawatan Peguam Negara. Peguam Negara tidak boleh dipecat tanpa ‘perbicaraan’ atau tanpa prosiding khusus untuk tujuan tersebut, iaitu pemecatan Peguam Negara. 

Jawatan Peguam Negara dihasratkan supaya bebas dan selamat daripada campur tangan pihak yang mempunyai kepentingan, seperti pihak eksekutif. Justeru, prosedur lantikan dan pemecatan atau penamatan perkhidmatan memainkan peranan penting. 

Justeru itu, dapat disimpulkan bahawa jawatan Peguam Negara adalah bukan jawatan politik. Namun pindaan kepada Perlembagaan mengenai pelantikan dan pemecatan atau penamatan perkhidmatan Peguam Negara telah membuka ruang kepada campur tangan politik dalam pelantikan dan pemecatan atau penamatan perkhidmatan Peguam Negara. 

Saya mencadangkan agar pihak kerajaan akan datang dan para perwakilan di Parlimen dengan serius dapat membincangkan perkara ini. Moga jawatan Peguam Negara tidak dicemari campur tangan politik sehingga menjadi ‘beban’ kepada institusi raja, iaitu Yang di-Pertuan Agong yang juga mendapat nasihat daripada Peguam Negara.

Moga bermanfaat.

PROF. MADYA DR. SHAMRAHAYU AB AZIZ
Penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu Universiti Teknologi MARA – HARAKAHDAILY 31/10/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100063657694353/posts/pfbid0aqL284roiAc7MJmsJf9s2FUJ1daPJEL3KaoQPYkUWJdVKP3ubD3FAPFzE7mm5sk7l/?sfnsn=mo 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -