Insentif penggajian PERKESO untuk anak muda

- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bermatlamat memastikan anak muda diberi akses pekerjaan sewajarnya, kerajaan akan menyediakan insentif penggajian di bawah PERKESO kepada majikan yang menggaji belia berumur 18 hingga 30 tahun yang menganggur lebih daripada tiga bulan. 

Insentif yang diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada Pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini, turut dipanjangkan kepada majikan yang mengambil graduan TVET.

Beliau mengumumkan perkara tersebut dalam Bajet 2023 khusus untuk golongan belia mewakili lebih satu perempat populasi negara ini. 

“Sememangnya, pada tangan-tangan merekalah yang menentukan lakaran wajah masa depan negara. Elok acuan kita, moleklah peribadi mereka.

“Sungguhpun negara berjaya mencapai tahap guna tenaga penuh, tetapi kadar pengangguran bagi mereka di bawah 25 tahun, termasuk lepasan sekolah dan institut pengajian tinggi masih berada pada tahap 11 peratus setakat suku kedua 2022. Hal ini akan terus diberi perhatian,” jelas beliau.

Tambah Tengku Zafrul, Malaysia sememangnya telah melahirkan ramai anak muda yang berjaya dalam perniagaan. 

“Ini termasuklah Arun Prasanth, usahawan muda yang mengusahakan khidmat pembersihan rumah dan pejabat sejak 2018. Melalui pinjaman di bawah BSN Mikro Belia sebanyak RM20,000, kini purata jualan tahunan Arun telah mencecah RM200,000,” ujarnya.

Kemudahan pinjaman RM305 juta

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, bagi menggalakkan lebih ramai golongan anak muda  menceburi sektor perniagaan, sejumlah RM305 juta  disediakan sebagai kemudahan pinjaman khusus untuk belia melalui SME Bank, TEKUN, MARA, BSN dan Agrobank.

“Antaranya, Skim Penjaja Muda Keluarga Malaysia di bawah BSN dengan dana RM50 juta yang akan menawarkan pinjaman sehingga RM50 ribu untuk 10,000 anak muda menjana pendapatan sendiri seperti mengusahakan food truck.

“Bagi membantu kumpulan B40 khususnya belia menjana pendapatan melalui perkhidmatan membawa penumpang seperti teksi, basdan e-hailing pula, kerajaan bersetuju untuk menanggung bayaran bagi mendapatkan lesen teksi, bas dan e-hailing di bawah program MyPSV.

“Selain itu, Kerajaan turut bersetuju menanggung bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/10/2022

- Advertisement -