Faktor penghalang, lambatkan pembangunan wakaf

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH 

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kesedaran amalan berwakaf yang masih rendah dalam kalangan masyarakat dan kekurangan modal untuk membangunkan tanah wakaf menjadi antara faktor halangan kepada kerajaan serta melambatkan pembangunan wakaf di negara ini. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Idris Ahmad, berkata bahawa beberapa usaha sedang dilaksanakan kerajaan bersama Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) bagi mengatasi masalah tersebut. 

“Contohnya, seperti mengadakan Sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan dengan pelbagai pengisian meliputi seminar, forum dan siri jelajah ke serata negeri bagi meningkatkan kesedaran berwakaf. 

“Selain itu, MAIN juga menjalinkan kerjasama bersama syarikat korporat mahupun menubuhkan anak syarikat sendiri bagi membangunkan tanah-tanah wakaf,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian), di Dewan Rakyat, di sini, hari ini. 

Menurut Idris, antara kerjasama korporat yang dijalankan kini adalah UDA Holdings Bhd dan Urus Maju Ehsan Sdn. Bhd. 

Sementara itu katanya, agensi seperti Unit Peneraju Agenda Bumpitera (TERAJU) melalui program Awqaf Ummah (AU) turut menyediakan dana bagi membantu MAIN melaksanakan pembangunan di atas tanah wakaf. 

“Pada masa yang sama, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) turut mengadakan libat urus dengan MAIN untuk mengguna pakai Papan Pemuka Aplikasi Geospatial Tanah Wakaf yang telah dibangunkan pada tahun 2022,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/10/2022

- Advertisement -