Terengganu FC enggan pandang rendah Melaka United FC

Nafuzi Zain
- Advertisement -

KUALA NERUS: Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang rendah kemampuan Melaka United FC walaupun pasukan itu menduduki antara tangga terbawah Liga Super.

Sebaliknya beliau mahu para pemain memberi fokus sepenuhnya terhadap persiapan menghadapi perlawanan di Stadium Hang Jebat malam esok.

- Advertisement -

Menurut Nafuzi skuad Penyu tidak boleh lagi keciciran mata sekiranya ingin kekal berada dalam kelompok tiga teratas liga sekali gus layak beraksi di pentas Piala Konfederasi Asia (AFC) musim depan.

“Di atas kertas memang nampak seperti TFC memiliki kelebihan berbanding Melaka tetapi di atas padang, apa saja boleh berlaku dan ia bergantung kepada diri dan pasukan kita sendiri.

“Sekarang ini untuk kekal di tempat tiga teratas kita perlu menang dan kita tak boleh harapkan kekalahan pasukan lain untuk selamat,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Gong Badak petang semalam

Nafuzi berkata beliau belum menentukan kesebelasan utama yang akan diturunkan malam esok kerana mahu memastikan skuad berkenaan sesuai dengan corak permainan lawan.

Beliau berkata semua pemain berada pada tahap kecergasan terbaik dan bebas daripada masalah kecederaan yang boleh menjejaskan pasukan.

“Siapa pun yang bakal diturunkan diharap dapat memberi persembahan terbaik untuk kemenangan pasukan.

“Tonggak import kita, Kpah Sherman juga sudah kembali dari Liberia dan sedia untuk bermain malam esok,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -