Roti canai makanan jalanan terbaik di dunia

- Advertisement -

Oleh ZULHAIDI MANSOR

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Juadah popular rakyat Malaysia, roti canai telah diumumkan sebagai makanan jalanan terbaik di dunia.

Pemilihan itu telah dibuat oleh laman web yang mengumpulkan resipi asli, ulasan pengkritik makanan dan artikel penyelidikan tentang bahan dan hidangan popular dari serata dunia dikenali sebagai TasteAtlas, yang berpangkalan di Sofia, Bulgaria.

Menerusi hantaran Facebook, TasteAtlas  itu menampilkan senarai Top 50 makanan jalanan terbaik di seluruh dunia, dengan roti canai  mendapat skor tertinggi iaitu  4.9 daripada 5.0 berdasarkan ulasan pengguna. 

Turut berada dalam carta Top 50 makanan jalanan terbaik di dunia ialah Lumphiang Shanghai dari Filipina pada kedudukan kedua dan Karaage (Jepun) di tempat ketiga. 

Roti canai biasanya dijual di restoran yang dikenali di Malaysia sebagai restoran mamak dan kebanyakan rakyat Malaysia menjadikan makanan ini sebagai makanaan kegemaran pada waktu pagi atau waktu malam.

Namun, roti perata berbentuk bulat ini digoreng dengan tepung, air, telur dan lemak ini juga boleh dimakan pada tengah hari dan sebagai hidangan minum petang.

Hidangan roti canai biasanya hadir bersama minuman teh tarik.

Doh untuk roti canai dilipat berulang kali, menjadi produk akhir dengan tekstur berlapis, bahagian dalam yang lembut, dan lapisan luar yang ranggup.

Bahan lemak yang paling biasa digunakan dalam roti canai ialah minyak sapi, yang merupakan mentega tradisional India.

Dipercayai hidangan ini berasal dari India apabila buruh negara itu berhijrah ke Malaysia dengan membawa resipi dan tradisi penyediaan pastri rangup ini ke negara luar.

Biasanya, ia dihidangkan dengan kuah dal, parpu atau kari dengan sambal ikan bilis, yang kebiasaannya dimakan bersama minuman teh tarik atau teh ais. –HARAKAHDAILY 29/9/2022

- Advertisement -