Empat ditahan, rokok seludup RM2.08 juta dirampas

Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain
- Advertisement -

GEORGE TOWN: Polis menahan empat lelaki dan merampas hampir dua juta batang rokok seludup bernilai RM2.08 juta termasuk cukai dalam serbuan Op Kontraban di dua gudang di Bukit Mertajam, dekat sini Isnin lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kesemua lelaki berusia 40 hingga 55 tahun itu ditahan selepas pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang menyerbu sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Ringan Permatang Tinggi, Bukit Mertajam pada 6.30 pagi.

“Dalam serbuan itu, polis merampas sejumlah rokok seludup sebelum menyerbu sebuah lagi gudang di Taman Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Bukit Tengah, Bukit Mertajam yang turut dijadikan tempat penyimpanan rokok seludup.

- Advertisement -

“Polis merampas 198 kotak besar mengandungi 9,990 karton rokok dan terdapat hampir dua juta batang rokok seludup yang kesemuanya bernilai RM764,000. Nilai keseluruhan cukai rokok itu dianggarkan RM1.32 juta,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, kesemua lelaki itu berasal dari Selangor dan mereka berperanan sebagai pemandu lori serta penjaga gudang-gudang tersebut.

Mohd Shuhaily berkata modus operandi sindiket itu ialah mendapatkan bekalan rokok seludup tersebut dari Lembah Klang sebelum dibawa ke gudang penyimpanan di negeri ini dengan menggunakan lori dan mengedarkannya di sekitar Pulau Pinang sejak setahun lepas.

“Sindiket itu akan berhenti 300 meter hingga 500 meter dari gudang bagi mengelak dikesan pihak berkuasa sebelum terdapat kereta mengambil dan membawa rokok ke gudang-gudang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah lori dan empat kereta dipercayai milik kesemua suspek, yang kesemuanya bernilai RM236,000.

Menurutnya empat lelaki itu kini direman hingga 11 Okt ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Mohd Shuhaily berkata sejak Januari lepas hingga bulan ini, pihaknya menahan 75 individu terlibat dengan sindiket penyeludupan rokok seludup atau tanpa cukai hasil daripada 61 serbuan dan merampas sejumlah rokok keseluruhannya bernilai RM3.037 juta. – BERNAMA

- Advertisement -