Serangan balas Presiden PAS, makin jelas PH tidak berubah

- Advertisement -

PRESIDEN PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang melancarkan serangan balas terhadap PH yang dilihat semakin goyah dengan hujahan lapuk dan dangkal. Isu kononnya PAS menerima rasuah daripada Umno sebanyak RM90 juta, dimainkan kembali. Ia dilihat hanya untuk memberikan gambaran kepada pengundi-pengundi baru yang berumur 18 hingga 21 tahun, bahawa PAS ini teruk. Itu sahaja.

Ia bukan untuk menarik perhatian golongan dewasa, kerana pengundi yang matang, telah mengetahui akan cerita sebenar, apa yang berlaku. Umno tidak sebodoh itu, merasuah PAS untuk mengalahkan dirinya sendiri. Cerita dongeng Pak Pandir pun tidak sanggup membuat naratif sebegitu. Umno beri wang kepada PAS, menyuruh PAS kalahkannya dalam PRU. Pak Pandir pasti meggelengkan kepala kerana melihat PH yang lebih pandir darinya.

Cerita fitnah yang digali semula mereka ini, hanyalah menzahirkan peribadi PH yang tidak akan berubah walaupun diberi peluang memerintah sekali lagi. Sekarang, mereka terkial-kial menangkis persepsi rakyat yang begitu yakin, 22 bulan kebobrokan mereka dahulu, akan berlaku lagi, jika menang sekali lagi PRU. Tuduhan rasuah RM90 juta ini, antara buktinya.

SPRM, ketika berada di bawah Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mengesahkan di hadapan Speaker, Menteri Besar dan ADUN-ADUN PAS Terengganu bahawa tiada kes salah laku duit Umno yang difitnah diberikan kepada PAS waktu itu. Waktu itu, PH sudah memerintah Malaysia. Lalu Pesuruhjaya SPRM bertukar orang. Latheefa Koya orang kuat PKR dilantik menjadi Pesuruhjaya SPRM. Pun sama, tiada kes seperti tuduhan PH terhadap PAS.

Mengapa ketika berkuasa, mereka tidak mendakwa PAS, jika benar ada kes? Sedangkan isu YB Nik Abduh dengan MBKB pun Lim Guan Eng suruh siasat sebagai kes rasuah. Yang PH percaya ialah dakwaan Clare Brown dari Sarawak Report yang mana si kafir itu turut disaman oleh Tuanku Permaisuri Sultanah Nur Zahirah, kerana memfitnahnya. Satu lagi bukti ialah melalui sekeping kertas photostat hitam yang dipegang DS Anwar ketika berkempen dalam satu Pilihan Raya Kecil.

Kita sudah mengenali PKR, salah satu komponen PH yang kuat memfitnah, sehingga rakan sendiri pun mereka fitnah. Kita juga mengetahui DAP yang amat bencikan Islam yang dibawa PAS, ahlinya tidak menerima orang Melayu Islam sebagai AJK Pusat mereka dengan hanya seorang yang menang pemilihannya.

PAN yang mundar-mandir tiada haluan itu juga kita tahu, hanya menjadi khadam kepada DAP, mengkhianati PAS dari dalam, tidak mempedulikan rakyat yang dilanda banjir, sebaliknya bermain ski ketika bencana. Lengkaplah ‘The Three Stooges’ dalam PH ini. Mereka hanya pandai melawak, menipu penonton bagi membuat orang ketawa. Betul atau tidak, apa mereka peduli. Dan mereka juga telah merekodkan hampir 30 kes rasuah.

Kita mesti memberikan penerangan sewajarnya kepada golongan pengundi kali pertama supaya mereka tahu siapa pembohong yang sebenarnya. PH akan mengulang-ulang berita fitnah yang basi, tetapi dihangatkan kembali, buat santapan anak muda yang tidak mengenali mereka sebelum ini. Bahaya hidangan basi itu, kerana ia akan menjadi racun kepada anak muda ini.

Jadi jelas, PH tidak akan berubah melihat kepada cara kempen mereka yang sama iaitu menggunakan fitnah untuk cuba menang. Fitnah, ia bukan dari Islam, ia bukan dari sikap profesional, ia bukan juga dari budaya kita. Jadi daripada mana PH mengambil contoh? Dari syaitan yang sering menghasut manusia dan PH mengikutnya. Wahai anak muda, jauhilah PH.

Atau agaknya ada pihak dari PH yang takut PAS minta balik duit kempen-kempen PRU waktu bersama PAS dahulu yang mereka tak bayar lagi? Lalu mereka kata PAS sangat kaya, jadi mereka tak perlu bayar duit itu? 

MOHD NASIR ABDULLAH
28 September 2022 – HARAKAHDAILY 28/9/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -