‘Nations League’ versi Asia?

- Advertisement -

PADA 25 September lepas, Malaysia telah tewas kepada Tajikistan di dalam perlawanan akhir Piala Raja Thai di Chiang Mai. Pasukan negara di ranking 148 FIFA telah tewas menerusi sepakan penalti 0-3 kepada pasukan di kedudukan 109. Pertandingan tersebut telah digunakan oleh pasukan kebangsaan sebagai persiapan sebelum Piala AFF yang menjelang dan Piala Asia 2023. Walaupun gagal menjadi juara namun pasukan Harimau Malaya telah berjaya mengalahkan tuan rumah Thailand pada kejohanan tersebut.

Ketika pasukan negara berjuang di Utara Thailand, pasukan-pasukan Eropah sedang bertarung di dalam UEFA Nations League (UNL). Pertandingan ini adalah pertandingan 2 tahun sekali (biennial) untuk pasukan kebangsaan negara-negara yang menjadi ahli UEFA. UNL merupakan pertandingan antarabangsa ketiga bagi mereka selepas Piala Dunia FIFA dan Kejohanan Eropah UEFA (Euro). 

Siri pertama pertandingan yang bermula dalam tahun 2018 telah dimenangi oleh Portugal dalam tahun 2019 dan Perancis telah memenangi siri kedua dalam tahun 2021. Tujuan UNL adalah untuk memberikan peluang kepada pasukan-pasukan kebangsaan bermain perlawanan-perlawanan yang lebih bermakna. Sebelum ini mereka akan bermain di dalam perlawanan-perlawanan persahabatan pada tarikh-tarikh yang ditetapkan oleh kalendar antarabangsa FIFA. UNL ini lebih bermakna kerana memberi peluang kedua kepada pasukan-pasukan untuk layak ke Piala Dunia dan Euro. Keputusan-keputusan UNL akan menentukan pasukan-pasukan yang layak ke perlawanan-perlawanan kelayakan tambahan (play-off) ke pertandingan-pertandingan tersebut.

Selain dari berpeluang untuk bermain di dalam perlawanan-perlawanan kelayakan tersebut, UNL ini lebih bermakna kerana ia memberi peluang kepada pasukan-pasukan bermain menentang pasukan yang sepadan dengan mereka. Pada siri pertama UNL, 54 negara ahli UEFA dibahagikan kepada 4 bahagian yang disebut ‘League’ menurut ranking FIFA mereka. Terdapat League A, League B, League C dan League D di mana akan berlaku promosi dan penurunan sepertimana liga-liga domestik. League A adalah yang paling atas sementara League D adalah yang paling bawah.

Bagi siri yang terkini (2022 – 2023), terdapat 4 kumpulan bagi setiap League A, B dan C. Setiap kumpulan adalah terdiri dari 4 pasukan yang bermain dalam 2 pusingan (Home and away). Sementara untuk League D terdapat 2 kumpulan, satu dengan 4 pasukan dan satu lagi dengan 3 pasukan yang juga bermain dalam 2 pusingan.

Contohnya untuk League A, Kumpulan A1 terdiri dari Croatia, Denmark, Perancis dan Austria. Kumpulan A2 pula terdiri dari Portugal, Sepanyol, Switzerland dan Republik Czech. Sementara Hungary, Itali, Jerman dan England berada dalam Kumpulan A3. Belanda, Poland, Belgium dan Wales akan bertarung dalam Kumpulan A4.

Juara keseluruhan Nations League ditentukan melalui perlawanan-perlawanan di antara johan-johan kumpulan bagi bahagian teratas, League A. Mereka akan bertemu di dalam perlawanan-perlawanan separuh akhir dan akhir untuk menentukan juara siri kali ini.

Kelayakan untuk Euro 2024 di Jerman adalah juga berdasarkan UNL siri ketiga ini dan play-off selepas itu. 3 dari 24 tempat di pertandingan tersebut adalah melalui perlawanan-perlawanan kelayakan berdasarkan kedudukan di dalam UNL. Walau bagaimanapun peluang ini adalah terbuka untuk pasukan-pasukan di dalam League A, B dan C. Dengan itu ia memberi peluang kedua untuk layak ke Euro 2024 bagi pasukan-pasukan yang gagal layak melalui pusingan kelayakan kumpulan-kumpulan seperti biasa.

Pada Euro 2020, empat pasukan iaitu Macedonia Utara, Hungary, Slovakia dan Scotland telah layak melalui perlawanan-perlawanan play-off berdasarkan kedudukan pada UNL siri kedua. Sementara untuk Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar akhir tahun ini, Austria dan Republik Czech telah layak ke pusingan kedua perlawanan kelayakan berdasarkan kedudukan mereka di dalam UNL siri kedua. Walau bagaimanapun mereka telah gagal untuk mara ke Qatar setelah mengalami kekalahan pada peringkat separuh akhir pusingan kelayakan tersebut.

Bagaimana jika dianjurkan Nations League versi Asia yang melibatkan 47 ahli AFC? Justeru tidak perlu pasukan kebangsaan kita menyertai pertandingan-pertandingan seperti Piala Raja Thai bagi membuat persiapan untuk kejohanan-kejohanan utama. Sepanjang tahun 2022, pasukan negara telah bermain 4 perlawanan persahabatan tidak termasuk 2 perlawanan pada Piala Raja Thai. Ini bermakna jadual pasukan kebangsaan tidak terlalu sibuk sehingga tidak dapat memuatkan jadual AFC Nations League jika hendak dianjurkan.

Pada bulan Oktober 2021, satu kejohanan 3 penjuru melibatkan negara kita, Jordan dan Uzbekistan telah dianjurkan untuk mengisi kekosongan kalendar perlawanan antarabangsa. Masalah ini tidak akan timbul jika terdapat kejohanan AFC Nations League. Bukan semua negara dapat mengatur perlawanan persahabatan. Tidak semua negara berupaya menganjurkan satu kejohanan bola sepak antarabangsa. Walaupun negara kita berpengalaman menganjurkan kejohanan tersebut namun begitu kali terakhir Pestabola Merdeka yang bersejarah itu diadakan adalah pada tahun 2013. Nations League versi Asia boleh menyelesaikan masalah ini.

Dengan Nations League, perlawanan-perlawanan di antara pasukan-pasukan adalah lebih bermakna kerana ia melibatkan promosi dan penurunan. Pasukan-pasukan akan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan promosi ke bahagian yang lebih tinggi. Mereka juga akan bersungguh-sungguh untuk mengelakkan dari diturunkan ke bahagian yang lebih rendah. Pasukan juga akan menentang lawan-lawan dengan kekuatan yang hampir sama.

Mungkin satu masalah untuk pertandingan antarabangsa ketiga selepas Piala Dunia dan Piala Asia adalah wujudnya kejohanan-kejohanan di peringkat serantau (regional championship). Kejohanan-kejohanan seperti Piala AFF di Asia Tenggara dan Piala SAFF di Asia Selatan perlu disesuaikan dengan jadual Nations League atau sebaliknya. Walau bagaimanapun pertandingan-pertandingan kelayakan untuk Piala Dunia dan Piala Asia boleh dipendekkan jika keputusan dan kedudukan Nations League diambil kira.

Kejayaan Nations League di Eropah akan mendorong benua-benua lain menganjurkannya. Sekiranya terdapat Nations League di Amerika Selatan dan Afrika maka peluang untuk pasukan-pasukan Asia mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan dari benua-benua tersebut akan berkurangan. Sudah tentu mereka sibuk dengan jadual Nations League mereka. UEFA telah mengumumkan perbincangan sedang diadakan agar pasukan-pasukan Amerika Selatan menyertai Nations League anjuran mereka mulai 2024. Jika kesemua ini  menjadi kenyataan, AFC tidak ada pilihan kecuali untuk menganjurkan Nations League mereka sendiri.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY28/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -