Putera Mahkota Mohammed ditabal PM Saudi

Raja Salman (kanan) di samping pewaris baginda, Putera Mahkota Mohammed. (FOTO: TRT World)

Susunan ZULHAIDI MANSOR

Advertisement

RIYADH: Putera Mahkota Saudi, Putera Mohammed Salman telah dinobatkan oleh ayahandanya, Raja Salman Abdulaziz sebagai Perdana Menteri baharu kerajaan Arab Saudi, dalam rombakan kabinet negara teluk itu.

Raja Salman turut menamakan putera keduanya, Putera Khalid sebagai Menteri Pertahanan, menurut titah diraja pada Selasa (27 September) waktu tempatan, lapor The New Arab.

Dalam titah diraja berkenaan, menurut laporan agensi berita tempatan, SPA, rombakan kabinet kerajaan Saudi itu mengekalkan seorang lagi putera baginda, Putera Abdulaziz untuk jawatan Menteri Tenaga.

Menteri Luar Negeri, Putera Faisal Farhan Al Saud, Menteri Kewangan Mohammed al-Jadaan dan Menteri Pelaburan Khalid al-Falih kekal tidak berubah 

Dalam pada itu, Reuters melaporkan Putera Mohammed pernah dilantik sebagai Menteri Pertahanan dan pemerintah de facto Saudi, yang merupakan negara pengeksport minyak utama dunia dan sekutu utama AS di Timur Tengah.

Sementara, Putera Khalid pula sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pertahanan Saudi.

Menurut dekri diraja Saudi, Raja Salman akan tetap mempengerusikan mesyuarat kabinet yang dihadirinya.

Raja berusia 86 tahun itu yang merupakan penjaga tapak paling suci Islam, Kaabah di Makkah menjadi pemerintah Saudi pada tahun 2015 selepas menghabiskan lebih dua setengah tahun sebagai putera mahkota.

Baginda sebelum ini telah dimasukkan ke hospital beberapa kali atas sebab kesihatan sejak dua tahun lalu.

Sementara, Putera Mohammed telah mengubah Saudi sejak beliau berkuasa pada 2017 ketika beliau mengetuai usaha untuk mempelbagaikan pendapatan ekonomi daripada hanya bergantung kepada hasil minyak, termasuk memodenkan sistem sosial negara itu seperti membenarkan golongan wanita Saudi memandu kenderaan di jalan-jalan raya negara itu. – HARAKAHDAILY 28/9/2022