Pemuda PAS wajib talaqi dengan Tuan Guru

Ahli Jawatan Kuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Yusni Mat Piah.
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

- Advertisement -

KANGAR: Pemuda PAS  wajib mengambil kesempatan hadir ke Ijtimak Tarbawi 8.0 (IT 8.0) di Besut, Terengganu menjelang 1 Oktober ini untuk bertalaqi (berguru secara bersemuka) sendiri dengan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang tidak pernah ketinggalan menghadiri ijtimak tersebut.

Ahli Jawatan Kuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Yusni Mat Piah berkata, kesempatan untuk bertalaqi dan berguru dengan Tuan Guru Abdul Hadi perlu diambil oleh Pemuda PAS selagi hayat dikandung badan. 

“Bukan benda pelik, kerana setiap yang bernyawa pasti akan pulang kembali menghadap Allah SWT dan hari ini juga kita dikejutkan dengan pemergian ulama hebat,  Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di Praijtimak Tarbawi peringkat negeri di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS), semalam.

Turut hadir, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil; Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis, Saad Seman; dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis, Haziq Dun.

Menurut Yusni, jika dilihat sekarang ini, ulama senior di peringkat dunia Islam yang masih ada tidak lain tidak bukan Tuan Guru Abdul Hadi.

“Dunia Islam menyanjungi Tuan Guru Presiden kita. Malangnya dalam negara, beliau sering dihina dan dicerca, dan lebih malang ada yang tidak mengenali beliau.

“Beliau tidak pernah ketinggalan menghadirkan diri membentang kertas kerja utama dalam setiap siri IT iaitu slot tafsir surah-surah pilihan, sehingga menjadi kewajipan kepada pemuda yang hadir selepas itu untuk menghafal surah berkenaan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau turut menegaskan agar Pemuda PAS agar tersemat di hati nurani mereka fakta bahawa tiada perjuangan tanpa pengorbanan dan sesuatu pengorbanan adalah mustahil tanpa wujudnya proses perjuangan.

“Jihad tidak pernah hilang, kerana perjuangan Islam ini telah dimulai oleh Nabi Muhammad SAW sehingga menjelang  hari kiamat kelak. Allah akan memuliakan orang yang berjihad.

“Pengorbanan dalam semua hal bagi meninggikan Islam adalah satu jihad yang wajib dipasak dalam jiwa anak muda, kerana jiwa inilah yang akan Allah lihat dan sebagai bekalan bertemu Allah kelak,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/9/2022

- Advertisement -