Bukan-Muslim ikrar tekad jadi benteng pertahan Kelantan

- Advertisement -

ADA yang mengatakan individu dalam video ini telah dibayar oleh PAS untuk memuji atau mengatakan perkara yang baik mengenai negeri Kelantan.

Untuk makluman, individu dalam video ini namanya Adrian Charles. Beliau seorang kaunselor di sebuah institusi pengajian tinggi swasta.

Beliau berasal dari Melaka dan beliau juga bukanlah ahli PAS termasuklah Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP).

Sebelum ini, telah diadakan program Kelantan Merdeka Tour 2022 di negeri ini sebagai satu usaha memperkenalkan negeri Kelantan kepada rakan-rakan daripada pelbagai bangsa dan persatuan mengenai keharmonian kaum serta mengadakan perbincangan yang bersifat telus untuk memberi pencerahan mengenai situasi sebenar di negeri Kelantan.

Malah, boleh dikatakan hampir kesemua peserta program yang terlibat dalam program ini pertama kali menjejakkan kaki ke negeri Kelantan Darul Naim.

Pada malam itu, pertemuan telah diaturkan antara kami dengan 15 orang pemimpin utama daripada Dewan Perniagaan Cina Kelantan untuk beramah mesra dan mengadakan perbincangan santai antara satu sama lain.

Rata-rata individu yang mewakili Dewan Perniagaan Cina Kelantan merupakan usahawan berjaya yang terdiri daripada kontraktor, pemilik kedai elektrik dan elektronik, pemilik perniagaan makanan dan pemilik hotel.

Bahkan, mereka turut berkongsi mengenai suasana keharmonian kaum di Kelantan dan juga tiada sebarang diskriminasi atau penindasan terhadap kaum dibuat serta hidup aman damai.

Berbalik kepada video yang tular. Tujuan asal video ini dirakam adalah untuk bertanya pendapat ikhlas beliau mengenai Kelantan setelah dua hari berada di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Justeru, apabila pencerahan, penerangan dan perbincangan telah diberikan, segala persoalan yang belum tersingkap akhirnya terlerai melalui diskusi melibatkan kedua-dua belah pihak.

Lantas, beliau dengan rela hati memberikan komentar dan pendapat yang ikhlas tanpa sebarang paksaan.

Maka, di situlah terbit ungkapan daripada saudara Adrian mengenai beliau sanggup menjadi benteng untuk mempertahankan negeri Kelantan sekiranya ada pihak yang memburuk-burukkan negeri Kelantan di media sosial.

Saya berada di belakang beliau pada waktu itu ketika kami baru sahaja selesai program makan malam tersebut.

Jadi, kepada mana-mana pihak yang mengatakan beliau dibayar atau pun mengeluarkan tohmahan serta fitnah kepada beliau dan PAS, nasihat saya hentikanlah.

Semoga Allah S.W.T merahmati dan memberkati bumi Malaysia yang tercinta.

Yang Merindui Bumi Kelantan

AIMAN DANIAL JASMI
Kota Bharu, Kelantan – HARAKAHDAILY 27/9/2022

Rujukan:

https://vt.tiktok.com/ZSRQAjF1K/

- Advertisement -
- Advertisement -