Piala Malaysia: Melaka United sah tidak beraksi kerana tunggakan gaji

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pasukan yang terpalit dengan isu tunggakan gaji, Melaka United FC (MUFC) sah tidak mendapat tempat dalam saingan Piala Malaysia 2022.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M) itu semalam.

- Advertisement -

Keputusan tersebut dibuat disebabkan kegagalan MUFC menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai mereka.

“MUFC kini menduduki tempat kesembilan Liga Super dan tidak dibenarkan untuk bertanding dalam pertandingan Piala Malaysia 2022,” menurut kenyataan itu.

Justeru, mesyuarat turut bersetuju supaya kesemua pasukan Liga Super kecuali MUFC mengisi slot dalam Piala Malaysia untuk mengekalkan bilangan 11 pasukan Liga Super dan lima pasukan Liga Premier dalam kejohanan itu.

Awal bulan ini, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mengesahkan menerima laporan daripada 17 pemain MUFC berhubung isu tunggakan gaji bulan Jun dan Julai serta sebahagian baki pembayaran pada Januari tahun ini.

Ketika ini, MFL masih belum mengumumkan secara rasmi tarikh penganjuran Piala Malaysia namun Bernama difahamkan ia bakal bermula pertengahan bulan depan atau selewat-lewatnya awal November.

Sementara itu, MFL menerusi kenyataan berasingan, mengesahkan First Instance Body (FIB) membuat keputusan bahawa tiada aksi playoff  bagi merebut dua slot Liga Super 2023 melibatkan dua pasukan terbaik Liga M3 menentang dua pasukan tercorot Liga Premier 2022.

Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir, berkata selepas menyemak laporan permohonan pelesenan Kelab Liga Amatur M3 yang telah berakhir pada 17 Sept, hanya tujuh kelab yang membuat permohonan – PIB FC, Harini FT, BRM FC, Imigresen FC, Armed Forces FC, Kinabalu Jaguar FC dan Manjung City FC.

Namun, daripada itu, hanya PIB FC dan Harini FT yang menunjukkan kemajuan yang baik, tetapi masih tidak melengkapkan kesemua kriteria kelab profesional bagi mendapatkan lesen pada tarikh akhir permohonan.

“PIB FC menunjukkan prestasi yang sangat baik dalam pertandingan dengan menamatkan saingan sebagai juara namun penyerahan dokumentasi mereka tidak lengkap. Harini FC pula gagal menduduki kelompok dua terbaik Liga M3 serta tidak dapat melengkapkan kriteria permohonan pelesenan yang diperlukan untuk melayakkan mereka beraksi di saingan play off.

“Ini adalah proses baharu untuk kelab Liga M3 dan kami percaya ia dapat memberikan semua kelab gambaran tentang kriteria yang diperlukan untuk setiap kelab mencapai kemajuan ke Liga Super musim 2024,” katanya.

Menurut penstrukturan semula Liga Malaysia, saingan tertinggi, iaitu Liga Super akan disertai oleh 18 pasukan, manakala Liga Premier pula dimansuhkan bagi tempoh tertentu sebelum akan dilancarkan semula sebagai Liga Semi-Pro selepas program pembangunan divisyen tiga capai tahap tertentu.

Bagi musim ini, sebanyak 12 pasukan beraksi dalam saingan Liga Super, manakala Liga Premier melibatkan 10 pasukan, termasuk tiga kelab ‘feeder’ (JDT II, Selangor 2 dan Terengganu II), serta Skuad Projek FAM-MSN. – BERNAMA

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -