Cacar monyet: Jangan sentuh pelancong asing

Ketua Pakar Epidemiologi di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China, pada sidang akhbar di Beijing pada 1 Mac 2022. (FOTO FAIL: Getty Images)
- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

SHANGHAI: Seorang pegawai kesihatan China telah menimbulkan kontroversi selepas mengeluarkan amaran kepada orang ramai  di negara itu supaya tidak menyentuh pelancong  atau orang asing, sehari selepas tanah besar China mengesahkan kes pertama cacar monyet.

Ketua Pakar Epidemiologi di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China, Wu Zunyou menulis di platform seperti Twitter Weibo China dengan berkata bahawa sekatan Covid-19 dan kawalan sempadan yang ketat di negara itu setakat ini telah menghalang penyebaran cacar monyet – sehinggalah satu kes ‘tergelincir melalui jaring’, lapor CNN.

- Advertisement -

Menurut pihak berkuasa tempatan, kes pertama cacar monyet di China  itu dikesan di perbandaran barat daya Chongqing, yang mana ‘ketibaan antarabangsa’ berada di bawah kuarantin wajib Covid-19 apabila jangkitan itu ditemui, menurut pihak berkuasa tempatan – namun, mereka tidak menyatakan sama ada orang itu warga asing atau China.

Kes cacar monyet  yang menyebabkan simptom seperti selesema dan luka seperti lepuh, mula muncul di seluruh dunia pada bulan Mei tahun ini,  yang mana  Amerika Syarikat telah melaporkan 23,500 kes setakat tahun ini, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS.

“Adalah perlu dan penting untuk mengukuhkan pemantauan dan pencegahan cacar monyet,” ujar  Wu dalam kenyataannya, yang menekankan risiko penyakit itu boleh  merebak melalui perjalanan antarabangsa dan konteks rapat, lapor Reuters pula. 

Sehubungan itu, beliau memberikan lima cadangan kepada orang ramai – yang pertama ialah, ‘Jangan lakukan sentuhan kulit ke kulit dengan pelancong asing’.

Syor itu bagaimanapun telah mencetuskan kontroversi di laman blog mikro di China, Weibo, dengan beberapa netizen memuji nasihat Wu  sebagai munasabah dan ada yang menyatakan kelegaan kerana mereka tidak mengenali ramai warga asing. 

“Adalah bagus untuk membuka pintu negara, tetapi kami tidak boleh membiarkan semuanya (pelancong asing) masuk ke China,” komen seorang pengguna Weibo.

Namun, pengguna Weibo lain  menyelar kenyataan Wu sebagai diskriminasi dan berbahaya, dengan beberapa pengguna mengaitkan persamaan dengan gelombang xenofobia dan keganasan yang dihadapi oleh orang Asia di luar negara ketika awal pandemik Covid-19.

“Ini (Kenyataan Wu) sedikit sebanyak adalah seperti ketika wabak itu bermula, apabila sesetengah orang di luar negara mengelak mana-mana orang Cina yang mereka lihat kerana takut,” tulis seorang pengguna Weibo.

“Saya tidak percaya dua perkara ini mempunyai asas saintifik, ia terlalu luas dan akan memburukkan lagi keadaan panik dalam kalangan orang ramai,” tambahnya.

Sementara pengguna Weibo yang lain menyatakan bahawa terdapat ramai pekerja warga asing yang sudah lama menetap di China yang tidak akan meninggalkan negara itu, justeru dia mempersoalkan adalah golongan itu juga dianggap sebagai orang asing. 

“Apabila wabak cacar monyet mula tercetus, beberapa rakan warga asing kami menggunakan platform media sosial untuk memberitahu semua orang bahawa rakyat China bukan pencetus virus itu,” tulis seorang pengguna lain di Weibo.

“Selepas itu, apabila wabak berkenaan berjaya dikawal di negara ini, namun apabila rakan-rakan warga asing kami mula menghadapi diskriminasi, warga China langsung tidak mmeberikan reaksi di platform masing-masing,” tegasnya

Kes pertama cacar monyet di China diumumkan secara rasmi pada Jumaat, 9 Sept lalu, dengan 90  buah negara di seluruh dunia sudah melaporkan kes berkenaan di negara masing-masing.

Setakat ini, terdapat lebih 60,000 kes cacar monyet disahkan di seluruh dunia yang telah diklasifikasikan sebagai kecemasan kesihatan global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),  dengan beberapa negara bukan endemik telah melaporkan kes yang membabitkan kematian.  – HARAKAHDAILY 19/9/2022

- Advertisement -