Demi prinsip, Pakatan Harapan mesti ditolak

- Advertisement -

PAS mempunyai pengalaman yang ‘panjang’ dengan DAP yang menjadi antara komponen parti politik dalam PH. Berapa banyak janji dan persefahaman yang mereka rungkaikan di samping campur tangan mereka dalam usaha PAS mengangkat Islam sebagai cara hidup. Mereka merencanakan perpecahan dalaman PAS untuk melemahkan politik umat Islam dalam negara kita.

Sesuai dengan apa yang ditulis dan ditegaskan oleh Tuan Guru Presiden PAS baru-baru ini, maka PAS Kedah amat menyokong ketegasan Tuan Guru tersebut. PAS Kedah melihat usaha dilaksanakan PH sepanjang tempoh 22 bulan memerintah, merugikan umat Islam dan rakyat Malaysia. Politik dendam, rakus dalam tindakan, pilih kasih dalam tuduhan penghakiman, salah guna kuasa dan banyak lagi tindakan mereka akan membawa bencana kepada negara. 

Ratifikasi ICERD, Statute Rom, ‘manifesto bukan kitab suci’, isu skandal rasuah terowong dan projek tambak tiga pulau buatan, serta pelbagai provokasi politik menyebabkan rakyat ‘tidak dapat tidur lena’.

Setelah kejatuhan PH akibat perpecahan dalaman, perebutan kuasa sesama sendiri, Kerajaan Perikatan Nasional terbentuk dan berjaya ‘merawat’ luka membarah 22 bulan PH berkuasa.

Oleh itu, seruan untuk terus memperkukuhkan kuasa politik umat Islam dalam negara kita mesti diteruskan. Jangan diberi peluang PH untuk kembali berkuasa. Kerjasama dengan parti politik dan NGO serta NGI yang tidak ekstrem bagi memperkukuhkan keharmonian masyarakat majmuk dalam negara kita juga amat perlu.

Ini kerana Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS tidak membenarkan penganutnya menzalimi bangsa dan agama lain serta melakukan perkara yang membawa kepada kemurkaan Allah. 

Jom sokong PAS dan gagasan penyatuan ummah dan menolak khemah besar PH untuk Malaysia yang Sejahtera.

“Malaysia Sejahtera”


USTAZ MOHD AZAM ABD SAMAT
Ketua Penerangan PAS Kedah
19 September 2023 / 22 Safar 1444H – HARAKAHDAILY 19/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -