Sunak vs Truss: Keterbukaan yang merugikan?

- Advertisement -

PEMILIHAN untuk ketua parti Konservatif di UK sedang berlangsung. Setelah 5 siri undian oleh Ahli-ahli Parlimen parti itu, 2 calon akan bertanding di peringkat akhir untuk menentukan ketua parti pemerintah tersebut. Justeru pemenang akan dipilih oleh Ratu England sebagai Perdana Menteri yang baharu. Pada peringkat yang terakhir pemilihan ini, lebih 130,000 ahli parti mempunyai sehingga 2 September untuk mengundi. Mereka akan memilih di antara Rishi Sunak dan Liz Truss yang telah mengalahkan 6 calon lain untuk sampai ke peringkat akhir.

Sunak dan Truss telah bertemu pada beberapa siri debat. Satu perkara yang unik untuk pemilihan ketua parti politik di UK adalah debat ini telah disiarkan secara langsung oleh stesen-stesen televisyen dan boleh ditontoni oleh seluruh rakyat. Ini bermakna bukan ahli-ahli Konservatif juga boleh menyaksikannya. Ini sudah tentu menimbulkan pelbagai persepsi kerana pertembungan di antara kedua-dua calon tersebut adalah seolah-olah mereka daripada parti yang berbeza. Tambahan pula terdapat mereka yang bertindak seperti mencurahkan minyak kepada api yang sedang marak.

Walau bagaimanapun terdapat banyak faedah pada debat-debat ini kerana ia memberi peluang kepada ahli-ahli parti untuk mengetahui polisi dan pendirian calon-calon terhadap isu-isu yang penting. Ini bermakna mereka mengundi setelah mengetahui sikap calon-calon tersebut. Debat ini membantu ahli-ahli untuk membuat keputusan. Ini amat penting kerana Konservatif adalah parti kerajaan dan pemenang akan dilantik Perdana Menteri.

Debat ini juga penting untuk orang ramai yang bukan ahli Konservatif. Ia memberi peluang kepada mereka untuk mengetahui bagaimana UK akan ditadbir di bawah Perdana Menteri yang baharu. Parti-parti pembangkang juga sudah tentu mengikuti debat ini kerana ia memberi peluang kepada mereka membuat cadangan balas kepada polisi-polisi yang bakal dilaksanakan oleh Perdana Menteri yang baharu. Dengan debat ini, calon-calon juga terikat kepada janji-janji yang dibuat ketika berhadapan dengan lawan mereka. Pembangkang sudah tentu akan mengambil kesempatan jika calon yang menang tidak menepati janji-janji beliau apabila menjadi Perdana Menteri.

Akhbar Guardian UK telah membangkitkan kesan pemilihan kali ini kepada reputasi Konservatif memandangkan pemilihan tersebut dikatakan sebagai paling kotor kerana telah memecahbelahkan parti itu. Suasana permusuhan yang luar biasa dapat dirasai wujud di antara kem Sunak dan kem Truss. Mereka bukan sahaja menyerang di antara satu sama lain di belakang tabir tetapi mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang direkodkan oleh media. Kedua-dua pihak telah menyerang satu sama lain dengan melabelkan polisi-polisi lawan mereka sebagai cacat (flawed) dan calon lawan mereka sebagai tidak layak untuk menjadi kerajaan.

Contohnya dalam satu artikel, Menteri Kehakiman Dominic Raab yang juga seorang penyokong Sunak berkata polisi-polisi Truss sebagai ‘membunuh diri’ jika berlaku pilihan raya (electoral suicide) kerana ia tidak akan melindungi rakyat dari kenaikan kos sara hidup. Bayangkan apa akan terjadi jika Truss menang dan menjadi Perdana Menteri? Sudah tentu kecaman Raab tidak akan dilupakan oleh pengundi jika berlaku pilihan raya dan tidak akan mengundi Konservatif. Walau bagaimanapun Raab sudah tentu akan dipecat jika Truss menang.

Dalam debat pertama yang hanya melibatkan Sunak dan Truss yang dianjurkan oleh BBC di Stoke-on-Trent, calon-calon telah mempamerkan sikap panas baran (bad tempered encounter) masing-masing. Truss mendakwa Sunak sedang menakut-nakutkan rakyat kerana mengugut jika cukai diturunkan maka kadar inflasi dan faedah akan naik. Sunak pula mendakwa Truss bermuka-muka (hypocrite) ketika kempen Remain (Brexit). Kesemua ini disaksikan secara langsung oleh rakyat yang akan menjadi pengundi pada Pilihan Raya Umum.

Ini bermakna ada 2 masalah yang perlu diselesaikan. Pertama adalah persepsi rakyat yang sudah tentu tidak yakin dengan parti yang memiliki pemimpin-pemimpin yang bertelagah secara terbuka. Kedua adalah untuk menyatukan semula parti Konservatif untuk Pilihan Raya Umum akan datang. Ahli-ahli terbahagi kepada penyokong Sunak dan penyokong Truss. Sunak dilihat sebagai ‘kiri’ (left) di dalam parti Konservatif mungkin kerana beliau telah menaikkan cukai pada kadar yang paling tinggi dalam tempoh 70 tahun. Sementara Truss telah dilabel oleh seorang pemimpin kesatuan sekerja (Union) sebagai ‘right wing fundamentalist’ (fundamentalis sayap kiri).

Adakah sistem pemilihan pimpinan parti politik seperti di UK ini sesuai untuk negara kita? Di satu sudut, ahli-ahli sudah tentu jelas dengan wawasan dan pendirian mereka yang bertanding. Mereka yang bertanding pula tidak boleh semberono tetapi perlu memiliki visi dan misi masing-masing. Mereka tidak boleh goyang kaki dan mengharapkan dipilih. Ini amat penting agar ahli-ahli tahu ke mana seseorang pemimpin itu hendak membawa parti mereka. Walau bagaimanapun sepertimana yang berlaku di UK akan berlaku pertelingkahan dan pertelagahan secara terbuka. Sekiranya tidak dikawal, sudah tentu akan membawa kemudaratan dan kehancuran kepada parti.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan ( REACH )
16 Ogos 2022 – HARAKAHDAILY 16/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -