Kejayaan Jom Celik Al-Quran 2022: 120 peserta khatam al-Quran

Idris (tengah) hadir merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Kali Ke-2 sempena Program Jom Celik Al-Quran 2022 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada 15 Ogos 2022. Di sebelah kiri sekali ialah Mohd Nizam. (FOTO HARAKAHDAILY/Jamal Kemala)
- Advertisement -

Oleh ZULHAIDI MANSOR

KUALA LUMPUR: Program Jom Celik Al-Quran 2022 anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Institut Pengajian al-Quran (IPaQ) membuahkan kejayaan apabila seramai 120 orang peserta berjaya khatam kitab suci umat Islam tersebut, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Idris  Ahmad berkata,  program kali kedua yang dilaksanakan bermula dari 13 November 2021 sehingga 19 Jun 2022 itu melibatkan peserta di lima buah lokasi PPR  Wilayah Persekutuan, selepas kejayaan MAIWP melaksanakannya buat kali pertama pada tahun lepas.

- Advertisement -

“Ini merupakan salah satu usaha MAIWP dalam memastikan umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan berkebolehan membaca al-Quran.

“Ia merupakan satu tanggungjawab fardu kifayah ke atas MAIWP dalam memastikan umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan boleh dan mahir membaca al-Quran, sekurang-kurangnya bacaan surah yang menjadi rukun dalam solat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Kali Ke-2 sempena Jom Celik Al-Quran 2022 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, hari ini bersamaan 1444H.

Sebahagian daripada 120 peserta program Jom Celik Al-Quran 2022 yang berjaya khatam al-Quran di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 15 Ogos 2022.

Menurut beliau, program yang  bermatlamat ‘dari buta ke celik Al-Quran’ itu menyaksikan  MAIWP telah melaksanakan Kelas Tahsin Al-Quran Siri 1 bermula pada 2020 yang memfokuskan bimbingan dan memperbaiki bacaan Al-Quran.

Program Tahsin Al-Quran, ujarnya, adalah terbuka kepada semua peringkat dan lapisan masyarakat termasuk penerima bantuan zakat MAIWP.

“Melalui pendekatan ini, MAIWP dapat memastikan bahawa penerima bantuan zakat ini bukan hanya dibantu dalam bentuk material, bahkan juga turut disantuni daripada aspek kerohanian.

“Alhamdulillah, kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana limpah kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama berada dalam Majlis Khatam Al-Quran Kali Ke-2  bersempena Jom Celik Al-Quran 2022  pada hari ini. Sama -sama kita berdoa agar majlis pada hari ini dan program yang bakal kita lancarkan nanti diberkati dan dipermudahkan oleh Allah SWT.

“Tahniah dan syabas kepada MAIWP dan IPaQ kerana telah berjaya melaksanakan Jom Celik Al-Quran  2022 sehingga dapat mengumpulkan para peserta yang kita raikan dalam Majlis Khatam Al-Quran Kali Ke-2 pada hari ini,” katanya.

Program Jom Celik Al-Quran anjuran bersama MAIWP dan IPaQ bermatlamat menjadikan individu berubah ‘dari buta ke celik Al-Quran’ .

Turut hadir sama pada majlis itu ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya dan Ahli Pemegang Amanah IPaQ, Tuan Haji Kasmuri Sukardi yang mewakili Pangerusinya, Prof Datuk Dr Zulkifli Mohd Yusoff. 

Mengulas lanjut, Idris berkata, majlis khatam al-Quran seperti yang dianjurkan bersama MAIWP dan IPaQ itu seharusnya diamalkan dalam masyarakat di negara ini kerana ia bukan sahaja bukan sahaja memberi pengiktirafan tamat pembelajaran, tetapi ia memberi impak kepada orang ramai sebagai daya tarik untuk belajar membaca al-Quran.

Selain itu katanya, antara waktu yang dianggap mustajab untuk berdoa kepada Allah SWT ialah selepas khatam al-Quran dan hal ini dianggap sebagai salah satu bentuk tawassul dengan amil soleh.

Menurutnya lagi, MAIWP ingin memastikan kesukaran hidup yang dialami tidak menyebabkan mereka jauh daripada al-Quran, sebaliknya ujian dan dugaan itu menjadikan mereka lebih dekat dengan Allah SWT.

“Alhamdulillah, hari ini kita meraikan para peserta yang telah menyempurnakan bacaan al-Quran. Tahniah saya ucapkan kepada peserta yang telah berjaya khatam al-Quran dan diharapkan menjadi pengalaman manis buat anda semua.

“Insya-Allah, pelaksanaan program ini diterus  dan dilaksanakan secara berkala, jadi sama -sama kita berdoa agar program yang diadakan ini bukan sahaja bagi memenuhi tanggungjawab MAIWP dalam menyebarkan ilmu membaca al-Quran, bahkan menjadi satu amal ibadah sebagai bekal kita di akhirat kelak,” ujarnya.

MAIWP dengan kerjasama IPaQ telah berjaykan melaksanakan tanggungjawab fardu kifayah dalam memastikan umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan boleh dan mahir membaca al-Quran melalui program Jom Celik Al-Quran. (FOTO HARAKAHDAILY/Jamal Kemala)

Tambah Idris, dari semasa ke semasa MAIWP akan mengadakan program-program bantuan bagi mengisi jiwa dan kerohanian antaranya dengan melahirkan Qura, Qari dan Qariah melalui pembelajaran ilmu Taranum. 

Katanya lagi, selain dalam konteks membaca Al-Quran, seseorang individu itu juga perlu berusaha untuk memahami makna, isi kandungan dan tafsirannya yang sentiasa relevan pada setiap masa untuk panduan dan amalan hidup manusia.

Beliau menjelaskan bahawa  Rasulullah SAW pernah bersabda dalam Hadis Riwayat Muslim  yang bermaksud, ‘Apabila seseorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakan untuknya’.

“Ini bermakna tanggungjawab fardu kifayah untuk memastikan umat Islam boleh membaca Al Quran yang terletak  atas bahu kami di MAIWP. Insya-Allah, ia akan terlaksana.

“Akhir kata, tahniah kepada MAIWP dan juga kepada IPaq. Semoga kerjasama dan kolaborasi ini dapat terus mengangkat dan mengembangkan dalam usaha memartabatkan Al-Quran.

“Dalam kita melaksanakan satu usaha murni menyuburkan pengajian sebuah kitab mulia lagi agung iaitu Al-Quranul Karim dalam kalangan umat Islam ini khususnya di Wilayah Persekutuan, saya berharap agar majlis yang diadakan pada hari ini mendapat sinar rahmat dan keberkatan dari Allah SWT,” ucap beliau.

Sehubungan itu tambah Idris, Program Jom Celik al-Quran yang ketika ini dilaksanakan di Wilayah Persekutuan diharap dapat diperluaskan ke seluruh Malaysia, bagi membolehkan lebih ramai umat Islam di negara ini mendapat bimbingan serta memperbaiki bacaan ayat suci al-Quran. – HARAKAHDAILY 15/8/2022

- Advertisement -