Tingkatkan keberkesanan tangani seludup barang bersubsidi

Senator Nuridah Mohd Salleh
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan memerlukan kaedah penguatkuasaan yang lebih berkesan bagi menangani isu penyeludupan barang bersubsidi ke negara jiran.

Senator Nuridah Mohd Salleh berkata, rakyat Malaysia sepatutnya menikmati subsidi yang diperuntukkan oleh kerajaan, namun isu penyeludupan barang bersubsidi menyebabkan rakyat menjadi mangsa.

- Advertisement -

“Contohnya subsidi minyak masak paket. Harga minyak masak paket sekilogram di Thailand adalah RM9, tetapi di Malaysia hanya RM2.50.

“Perbezaan yang amat ketara ini menyukarkan pihak berkuasa untuk membanteras aktiviti ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Eksais (Pindaan) 2022 di Dewan Negara, hari ini.

Justeru Nuridah meminta penjelasan sejauh mana pindaan RUU ini yang memperluaskan kuasa Ketua Pengarah Kastam dapat memastikan isu penyeludupan barang bersubsidi dapat ditangani.

Beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat juga meminta penjelasan kerajaan mengenai pelaksanaan cukai minuman bergula untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Katanya, sejauh manakah pelaksanaan itu memberi kesan terhadap kawalan masalah obesiti serta penyakit tidak berjangkit yang kian meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kementerian Kewangan melalui pembentangan Bajet 2019 mengumumkan mengenakan duti eksais ke atas minuman bergula. Berapakah jumlah duti eksais diperolehi terhadap minuman bergula sejak diperkenalkan.

“Adakah duti eksais terhadap minuman bergula ini mencapai objektif asalnya untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/8/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!