Penganjur ‘Jom Heboh’ setuju ikut garis panduan

- Advertisement -

MARANG: Media Prima Berhad (MPB) selaku penganjur program Karnival Jom Heboh (KJH) bersetuju untuk melaksanakan program terbabit mengikut garis panduan hiburan yang ditetapkan kerajaan Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya telah memberi beberapa saranan agar sebarang hiburan atau aktiviti yang akan dijalankan tidak melanggar batas di samping mengetengahkan konsep islamik.

“Sebagai contoh berdasarkan garis panduan kerajaan negeri jika hendak mengadakan konsert, penyanyi tidak boleh wanita dan semua barisan artis yang akan membuat persembahan pada karnival itu nanti adalah artis lelaki.

- Advertisement -

“Kita sebenarnya tiada masalah untuk menyokong mana-mana program yang hendak dianjurkan seumpama KJH ini asalkan memenuhi syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri dan patuh syariah di samping akan membawa kepada keuntungan kepada rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau operasi pemasangan paip bagi projek menaik taraf bekalan air kawasan Marang, di sini, semalam.

Mengulas lanjut Ariffin berkata, namun tarikh sesuai bagi program KJH masih dalam perbincangan.

“Ketetapan asal adalah pada September ini namun ia masih dalam perbincangan, saya yakin karnival ini akan didatangi oleh pelancong dari negeri Pahang, Kelantan bahkan seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu menurutnya, semua pihak sangat dialu-alukan untuk mengadakan aktiviti dan program di negeri ini.

“Mereka juga telah sedia maklum dengan ketegasan kerajaan negeri agar apa jua yang hendak dilakukan mesti patuh syariah, penerbit telemovie yang ingin melakukan pengambaran di negeri ini juga berjumpa kami dan sanggup mematuhi garis panduan kerajaan negeri.

“Drama itu mereka maklumkan akan menampilkan pelakon yang berhijab dan menutup aurat, ini memberikan gambaran bahawa usaha kita mendidik orang ramai termasuk mereka yang datang dari luar Terengganu telah difahami dan sudah maklum mengenai syarat yang mesti mereka patuhi.

“Sebenarnya ramai lagi penerbit filem yang datang ke Terengganu untuk membuat filem, kita terbuka untuk memberikan kerjasama kepada mana-mana penerbit filem atau drama kerana ia juga merupakan langkah untuk mempromosikan negeri ini agar lebih dikenali,” ujarnya. – TRDI.my

- Advertisement -