Salman Rushdie cedera parah ditikam di atas pentas

- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

CHAUTAUQUA, New York: Penulis kontroversi British, Salman Rushdie, yang tulisannya telah menjadikan dirinya sasaran ancaman bunuh Iran, menjalani pembedahan kecemasan pada Jumaat (12 Ogos) selepas seorang penyerang menikam pada bahagian leher dan rusuknya di pentas bual bicara sastera di New York.

Polis berkata seorang suspek lelaki dikenali sebagai Hadi Matar, 24, dari Fairview, New Jersey telah menyerbu ke pentas tersebut sebelum menyerang Rushdie, 75, dan seorang pengacara yang menemubual beliau ketika itu, menyebabkan novelis tersohor itu mengalami luka parah akibat serangan itu, lapor New York Post.

- Advertisement -

Ejennya, Andrew Wylie dalam kenyataan melalui Twitter pada Jumaat berkata, Rushdie telah dikejarkan dengan helikopter ke hospital dan menjalani pembedahan, dan terbaharu, menerusi e-mel pada Sabtu (13 Mei), beliau berkata, Rushdie yang kini di bawah kendalian mesin bantuan hayat di hospital, mungkin bakal hilang sebelah penglihatannya.

Rakaman media sosial menunjukkan orang ramai menjalankan rawatan perubatan kecemasan terhadap Rushdie di atas pentas sejurus selepas serangan itu. Pengacara yang menemubual Rushdie, Ralph Henry Reese, 73, juga mengalami kecederaan di kepala.

Sehubungan itu, Matar telah ditahan oleh polis New York, namun belum diumumkan motif serangan tersebut.

“Rushdie rebah ke lantai apabila lelaki itu (Hadi Matar) menyerangnya, dan kemudian dikelilingi oleh sekumpulan lelaki yang mengangkat kakinya, seolah-olah menghantar lebih banyak darah ke bahagian atas badannya, sementara penyerang itu ditahan,” ujar seorang saksi yang menghadiri majlis bual bicara berkenaan.

Suspek yang menyerang Salman Rushdie dikenali sebagai Hadi Matar (depan) ditahan polis di Chautauqua, New York pada 12 Ogos 2022. (FOTO News Cutter)

Rushdie, yang dilahirkan dalam keluarga India-Muslim, telah berdepan dengan ancaman bunuh untuk novel keempatnya, The Satanic Verses, yang mengandungi petikan berunsur fitnah terhadap kesucian agama Islam.

Sehubungan itu, novel berkenaan telah diharamkan di banyak negara Islam ketika ia diterbitannya pada tahun 1988.

Setahun kemudian, Ayatollah Ruhollah Khomeini, pemimpin tertinggi Iran ketika itu, mengeluarkan fatwa menyeru umat Islam membunuh Rushdie.

Rushdie bersembunyi selama bertahun-tahun sehinggalah pada 1998, kerajaan Iran berkata bahawa ia tidak lagi menyokong fatwa itu, dan Rushdie kemudian telah menjalani kehidupan secara terbuka sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Salman Rushdie rebah ke lantai dan diberi bantuan kecemasan selepas diserang seorang lelaki di sebuah pentas majlis bual bicara sastera di Chautauqua, New York pada 12 Ogos 2022 (FOTO AP)

Namun, beberapa organisasi Iran dilaporkan telah mengumpulkan hadiah bernilai berjuta-juta dolar untuk pembunuhan Rushdie. Bagaimanapun, pengganti Khomeini sebagai pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dilporkan sebagai berkata bahawa sehingga 2017 fatwa tersebut masih sah.

Dalam pada itu, Rushdie menerbitkan memoir tentang kehidupannya menggunakan nama samaran yang digunakannya semasa di bawah perlindungan polis, Joseph Anton. Novel baharunya, Victory City bakal diterbitkan pada tahun depan menjelang tarikh 7 Februari 2023.

Penunjuk perasaan pro-​​Islam membakar salinan novel The Satanic Verses karya Salman Rushdie di hadapan Dewan Bandaraya Bradford, di Bradford, United Kingdom pada 1988. (FOTO Getty Images)

Rushdie berada di Institusi Chautauqua untuk mengambil bahagian dalam perbincangan tentang Amerika Syarikat yang berkhidmat sebagai suaka untuk penulis dan artis dalam buangan dan ‘sebagai rumah untuk kebebasan ekspresi kreatif’, menurut laman web institusi itu.

Beliau menjadi warganegara Amerika pada 2016 dan tinggal di New York City telah muncul sebagai pengkritik sengit agama di seluruh spektrum global.

Rushdie turut mengkritik penindasan dan keganasan di negara asalnya, India, termasuk di bawah pemerintahan Perdana Menteri Narendra Modi, pemimpin Parti Bharatiya Janata (BJP) yang merupakan nasionalis Hindu.

Salman Rushdie (kiri) dan Ralph Henry Reese (kanan) di atas pentas bual bicara sastera sejurus sebelum diserang suspek di Chautauqua, New York pada 12 Ogos 2022. (FOTO WSTPost)

Sementara itu, wakil Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York tidak segera menjawab permintaan untuk komen, lapor pula The Guardian.

PEN America, sebuah kumpulan advokasi untuk kebebasan bersuara, yang mana Rushdie adalah bekas presiden, dalam kenyataannya berkata bahawa ia ‘sangat terkejut’ mengenai apa yang dilihat sebagai serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas golongan penulis di Amerika Syarikat.

“Salman Rushdie telah menjadi sasaran kerana kata-katanya selama beberapa dekad tetapi tidak pernah tersentak atau goyah,” kata Ketua Eksekutif PEN, Suzanne Nossel dalam kenyataan itu.

“Pada awal pagi, Rushdie telah menghantar e-mel kepadanya untuk membantu menempatkan semula penulis Ukraine yang mencari perlindungan,” katanya.

Senator AS, Chuck Schumer dari New York melabelkan insiden itu sebagai ‘serangan terhadap kebebasan bersuara dan berfikir’. – HARAKAHDAILY 13/8/2022

- Advertisement -