‘Tanah warisan bangsa, jangan mudah-mudah jual’

Kerajaan negeri bantu rakyat miliki tanah secara sah

- Advertisement -

SIK: Kerajaan negeri menunaikan hak rakyat dalam mengiktiraf kependudukannya dan keperluan menetap berlindung di kediaman dengan meluluskan pemberian geran tanah kepada penduduk.

Semalam, seramai 30 penduduk dari empat mukim iaitu Jeneri, Teloi, Sik dan Sok dalam daerah Sik telah menerima geran tanah masing-masing pada majlis di Masjid Al-Hidayah Kampung Merbau Kudung, di sini.

Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman menyampaikan serahan sempena majlis penutup program Jelajah Kedah Sejahtera Daerah Sik yang dilangsungkan.

Beliau mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyampaikan serahan itu disaksikan Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Romani Wan Salin.

“Manfaatkan tanah ini untuk memperbaiki lagi taraf kehidupan keluarga, jangan mudah menjual tanah ini tanpa apa-apa alasan. Tanah ini adalah warisan bangsa yang perlu dijaga.

“Kerajaan Negeri Kedah dengan penuh prihatin demi kesejahteraan rakyat, mempermudahkan segala urusan pemberian geran tanah ini untuk diberi kepada rakyat yang gigih usahakan tanah sama ada untuk membina tapak rumah atau pertanian kebun atau dusun.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua adalah komitmen kerajaan negeri yang dilaksanakan dalam pelbagai bidang termasuk menyelesaikan pemilikan tanah ini secara sah.

Terima kasih saya mewakili rakyat Daerah Sik kepada Kerajaan Negeri Kedah dan Pejabat Tanah Daerah Sik yang berjaya menyelesaikan geran pemilikan tanah di berapa buah kampung di daerah Sik ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -