Lantik ahli Tribunal AGS berlatar belakang syariah

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk melantik ahli Tribunal Antigangguan Seksual (AGS) yang mempunyai latar belakang syariah.

Senator Nuridah Mohd Salleh berpandangan, pelantikan sekurang-kurang tiga orang ahli yang mempunyai latar belakang syariah dapat membangunkan tatacara tribunal secara menyeluruh dan bersesuaian dengan dwisistem perundangan negara.

- Advertisement -

“Tribunal AGS perlu meneliti pendekatan yang terkandung dalam undang-undang syariah mengenai cara Islam menghadapi kes jenayah seksual.

“Selain itu, meneliti kaedah yang digunakan Islam dalam menangani aspek cegah rintang yang boleh membawa kepada jenayah seksual,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual 2021 di Dewan Negara, hari ini.

Nuridah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia berkata, keanggotaan itu penting kerana undang-undang jenayah Islam yang bermatlamat untuk memelihara keturunan dan maruah.

Dalam perbahasan kitab Tarbiyatul Awlad mengenai pendidikan seksual, katanya keutamaan adalah mengenai adab dan akhlak, menjaga pergaulan serta mengetahui batasan dengan bukan mahram.

Namun, katanya soal adab dan akhlak tidak lagi menjadi keutamaan hari ini.

“Oleh itu, tidak hairan apabila ada pihak tidak sensitif dalam perbincangan isu gangguan seksual. Mereka menjadikan isu-isu begini sebagai gurauan seperti yang berlaku di sesetengah tempat.

“Lawak double meaning (mempunyai pelbagai maksud) menjadi kebiasaan dalam masyarakat, termasuk dijadikan bahan dalam program rancangan televisyen,” katanya.

Sementara itu, Nuridah berpandangan antara kebimbangan utama kepada mangsa gangguan seksual adalah kekuatan dan sokongan untuk membuat laporan mengenai gangguan itu.

Katanya, kaji selidik Jabatan Pembangunan Wanita 2019 menunjukkan 93.7 peratus responden memilih untuk tidak membuat aduan.

“Oleh itu, tribunal perlu mengambil sikap terbuka sepenuhnya untuk menerima sebarang aduan walaupun berpandangan ada pihak yang akan mengambil kesempatan.

“Amalan ‘no wrong door policy’ perlu diaplikasi terlebih dahulu kerana kita tidak mahu mangsa mempunyai tekanan untuk menyuarakan kes yang mereka hadapi,” katanya.

Selain itu, katanya terdapat kebimbangan mengenai kes gangguan seksual melibatkan orang kenamaan.

Justeru itu, beliau berharap agar tribunal itu tidak melengahkan kes begitu kerana bimbangkan isu lanjutan yang berbangkit kemudian. – HARAKAHDAILY 11/8/2022

- Advertisement -