EAIS: Paras laut bakal naik besar-besaran!

Saintis melabelkan EAIS sebagai 'gergasi yang sedang tidur'. (FOTO AFP)

Oleh ZULHAIDI MANSOR

LONDON: Lapisan ais terbesar di dunia bakal, Lembaran Ais Antartika Timur (EAIS) akan menyebabkan kenaikan paras laut  beberapa meter secara besar-besaran jika suhu global meningkat lebih daripada 2 darjah Celsius, menurut kajian British yang diterbitkan Rabu (10 Ogos).

Penyelidik di Universiti Durham menyimpulkan bahawa jika pelepasan rumah hijau global kekal tinggi, Lembaran Ais Antartika Timur (EAIS) yang mencair boleh menyebabkan hampir setengah meter kenaikan paras laut menjelang tahun 2100.

Advertisement

Hasil analisis penyelidik berkenaan diterbitkan dalam jurnal saintifik Nature, lapor AFP

“Jika pelepasan kekal tinggi melebihi itu, EAIS boleh menyumbang sekitar satu hingga tiga meter ke paras laut global menjelang 2300, dan dua hingga lima meter menjelang 2500,” kata penyelidik berkenaan.

Walau bagaimanapun, jika pelepasan dikurangkan secara mendadak, EAIS boleh menyumbang kira-kira dua sentimeter kenaikan paras laut menjelang 2100, menurut kajian itu lagi.

Ini akan mewakili jauh lebih rendah daripada kehilangan ais yang dijangkakan dari Greenland dan Antartika Barat.

“Kesimpulan utama daripada analisis kami ialah nasib Lembaran Ais Antartika Timur kekal di tangan manusia. Lembaran ais ini adalah yang terbesar di planet bumi ini, mengandungi setara 52 meter paras laut dan sangat penting untuk kita tidak ‘membangunkan gergasi yang sedang tidur’ ini.

“Mengehadkan kenaikan suhu global kepada di bawah had 2 darjah Celsius yang ditetapkan oleh Perjanjian Iklim Paris bermakna kita mengelakkan senario terburuk, atau mungkin juga menghentikan pencairan Lembaran Ais Antartika Timur, dan oleh itu mengehadkan kesannya terhadap peningkatan tahap laut global,” kata penyelidik utama kajian itu, Chris Stokes, dari Jabatan Geografi Universiti Durham.

Sementara itu, laman web courthousenews.com melaporkan bahawa pemimpin dunia bersetuju pada Persidangan Perubahan Iklim PBB 2015 di Paris untuk mengehadkan pemanasan global kepada jauh di bawah 2°C dan meneruskan usaha untuk mengehadkan kenaikan kepada 1.5°C.

Pasukan penyelidik, yang termasuk saintis dari United Kingdom (UK), Australia, Perancis dan Amerika Syarikat, telah bmenganalisis bagaimana lapisan ais bertindak balas terhadap tempoh panas yang lalu apabila membuat ramalan mereka.

Mereka menjalankan simulasi komputer untuk memodelkan kesan paras dan suhu pelepasan gas rumah hijau yang berbeza pada kepingan ais menjelang tahun 2100, 2300 dan 2500.

Sehubungan itu, penyelidik menemui bukti yang menunjukkan bahawa tiga juta tahun yang lalu, apabila suhu sekitar 2°C hingga 4°C lebih tinggi daripada sekarang, sebahagian daripada EAIS runtuh dan menyumbang beberapa meter kepada kenaikan paras laut.

“Itulah faktanya, walaupun baru-baru ini, kajian mendapati kira-kira 400,000 tahun yang lalu – tidak lama dahulu pada skala masa geologi – terdapat bukti bahawa sebahagian daripada EAIS berundur 700km ke pedalaman sebagai tindak balas kepada hanya 1°C hingga 2°C pemanasan global,” tambah mereka.

Nerilie Abram, penyelidik bersama kajian itu dari Universiti Nasional Australia di Canberra, memberi amaran bahawa EAIS tidak stabil dan tidak dilindungi seperti yang pernah difikirkan. – HARAKAHDAILY 11/8/2022