Pesawah tanggung kos tinggi tanam padi

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Walaupun jumlah subsidi tidak berubah, pesawah di negara ini terpaksa menanggung kos tanaman yang naik berkali ganda setiap tahun.

Senator Nuridah Mohd Salleh berkata, keadaan ini adalah tidak adil kepada pesawah kerana harga beras tidak dinaikkan seiiring dengan kenaikan kos.

- Advertisement -

Katanya, hakikatnya pesawah menanggung 100 peratus kenaikan kos dan ini tidak termasuk faktor potongan untuk mendapatkan beras bersih yang semakin tinggi oleh kilang beras.

“Ini bermakna beras murah yang dinikmati rakyat negara ini sekarang sebenarnya ditanggung oleh pesawah 100 peratus.

“Adakah pihak menteri bersetuju dengan apa yang saya sebutkan ini. Hal ini tidak berlaku kepada sayur-sayuran, ikan dan makanan lain yang kenaikan kos turut ditanggung oleh pemborong dan pengguna,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2022 di Dewan Negara, hari ini.

Nuridah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia bertanya sama ada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berminat untuk melaksanakan sistem apungan harga beras jika tidak mahu lagi memberi subsidi yang juga adalah balasan ganti kepada kawalan harga padi dan beras.

Sementara itu, katanya berlaku kelewatan proses pengagihan benih padi kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) hingga menjejaskan jadual tanaman lebih 50,000 pesawah di Kedah dan Perlis pada Oktober tahun lalu dan kejadian itu dikatakan pernah berlaku sebelum ini.

Katanya, pesawah terbabit kecewa apabila masalah pengagihan benih padi berterusan dan keadaan itu sesuatu yang menyedihkan.

“Adakah masalah kelewatan pengagihan benih padi masih berlaku ketika ini. Adakah punca masalah ini berlaku kerana ketika ini, bilangan pengedar benih padi masih berkurangan dan apakah tindakan kementerian menangani masalah ini dalam jangka panjang,” katanya.

Difahamkan pada 2019, katanya pernah timbul cadangan oleh kerajaan ketika itu untuk memecahkan monopoli Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) sebagai penjaga industri padi dan beras tempatan.

Menurutnya, cadangan itu dibangkitkan oleh kerajaan ketika itu untuk memantapkan sektor pertanian, terutama bagi memastikan soal jaminan keselamatan bekalan makanan negara terpelihara.

Malah waktu itu, katanya cadangan itu dikatakan akan menamatkan monopoli BERNAS dan mewujudkan pasaran yang lebih terbuka serta persaingan sihat.

“Saya ingin tahu adakah monopoli BERNAS ketika ini memberi keuntungan atau sebaliknya kepada bekalan beras negara dalam jangka masa panjang,” katanya. – HARAKAHDAILY 10//8/22

- Advertisement -