Dewan Negara lulus RUU Larang Ahli Dewan Rakyat Lompat Parti

- Advertisement -

RANG Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) No. 3 2022 Pindaan dalam Jawatankuasa yang memperuntukkan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti telah diluluskan di Dewan Negara pada 9 Ogos 2022 dengan undian majoriti sebanyak 52 Ahli Dewan Negara bersetuju manakala tujuh (7) tidak hadir.

Sebagai tindakan susulan, Jabatan Peguam Negara akan menjalankan proses untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan. 

Seterusnya, perintah kuatkuasa tarikh peruntukan tersebut juga akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan tarikh kuatkuasa mengikut Fasal 1 Rang Undang-undang tersebut. 

Setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob akan membuat pemakluman melalui surat kepada semua Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk mengesyorkan kepada semua negeri mengenai pindaan terhadap Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan semua Dewan Undangan Negeri untuk meminda Perlembagaan Negeri masing-masing dengan memasukkan peruntukan larangan bertukar parti agar selaras dengan Jadual Kelapan Perlembagaan Pesekutuan sebagaimana yang diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dato’ Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar menyatakan bahawa ini adalah untuk penyeragaman dengan Undang-undang Persekutuan di bawah Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan. 

“Kerajaan Persekutuan berharap agar semua negeri menerima pakai cadangan peruntukan ini supaya kestabilan politik dapat dikekalkan dan penyeragaman sistem boleh dicapai bukan sahaja di peringkat Persekutuan bahkan di peringkat negeri,” kata YB Menteri.

YB DATO SRI DR. WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR 
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-undang)
10 Ogos 2022 – HARAKAHDAILY 10/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -