Tingkat pewartaan HSK untuk generasi masa depan

PADA sesi perbahasan Rang Undang-undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 baru-baru ini, saya berpeluang membahaskan beberapa isu berkaitan pengurusan hutan bertepatan dengan pindaan Akta Perhutanan 1984 yang telah dibentangkan. 

Antara isu yang telah saya bangkitkan ialah keperluan lebih banyak program pewartaan Hutan Simpan Kekal (HSK) di setiap negeri memandangkan setiap negeri mempunyai sebahagian hutan yang masih belum digazetkan sebagai hutan simpan. Hal ini bertujuan menjaga kepentingan HSK untuk generasi akan datang. 

Sehingga tahun 2018, Malaysia mempunyai kawasan berhutan seluas 18.27 juta hektar atau 55.3 peratus daripada keluasan tanah negara. Daripada jumlah tersebut, keluasan HSK adalah 10.92 juta hektar bersamaan 33.06 peratus keluasan tanah negara. 

Memandangkan kuasa pewartaan HSK tertakluk di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, saya berpendapat Kerajaan Persekutuan perlu melaksanakan lebih banyak inisiatif yang mampu menggalakkan lebih banyak pewartaan HSK oleh pihak Kerajaan Negeri. 

Selain itu, saya turut membangkitkan mengenai sejauh mana usaha dan inisiatif yang dilakukan kerajaan bagi memulihara kawasan sekitar Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud, Tasik Kenyir, Terengganu susulan terjadinya aliran puing yang menyebabkan berlakuny tanah runtuh di kawasan tersebut baru-baru ini.

Justeru, saya berharap agar cadangan dan juga persoalan yang telah saya bangkitkan bakal mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak Kerajaan agar matlamat untuk memelihara dan memulihara hutan simpan di negara ini akan tercapai. 

“Islam Menyatukan Ummah”

YB SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 10/8/2022

Advertisement