Isu LCS: Adili tanpa ada segmen ‘dua darjat’

- Advertisement -

SAYA melahirkan rasa amat kecewa mengenai perkembangan projek Littoral Combatant Ship (LCS) yang telah didedahkan dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini setelah hampir dua tahun pihak PAC melakukan siasatan berkaitan isu ini. 

Dalam laporan tersebut, projek LCS telah diberikan oleh kerajaan secara rundingan terus kepada syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) dengan bayaran sebanyak RM6.083 bilion. Namun begitu, sehingga Ogos 2022 bukan sahaja lima buah kapal LCS gagal diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengikut jadual, bahkan satu kapal LCS pun belum disiapkan lagi. 

Saya berpendapat bahawa ketirisan dalam projek LCS sepatutnya tidak wajar berlaku kerana ia melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara. Malah, nama baik negara juga tercemar dengan amalan tadbir urus yang teruk disebabkan negara telah menanggung kerugian berbilion ringgit melibatkan dana awam.

Kerajaan perlu bertegas dalam membuat sebarang keputusan bagi menyelesaikan isu kepincangan dalam projek LCS. Saya mencadangkan pihak kerajaan perlu memastikan individu yang terlibat dalam penyelewengan skandal projek LCS perlu dibawa ke muka pengadilan tanpa ada segmen ‘dua darjat’ secepat mungkin. Ketegasan ini yang rakyat mahukan agar mana-mana pihak yang terlibat benar-benar dihukum demi memastikan ketegasan kerajaan dalam membasmi rasuah.

Seterusnya, kerajaan perlu memastikan kapal LCS ini siap dibuat dengan dana setimpal yang telah disalurkan iaitu sebanyak RM6.083 bilion dengan tiada sebarang bayaran lanjut dibuat. Projek besar ini melibatkan duit rakyat dan kerajaan harus amanah dan memastikan projek ini diteruskan dalam memastikan kapal LCS dapat disiapkan kerana berbilion ringgit telah dilaburkan dalam projek ini.

Di samping itu, amaran tegas perlu diberikan kepada BNS dalam memastikan projek kapal LCS siap mengikut standard reka bentuk dan kehendak yang dipersetujui oleh TLDM. Saya berpendapat sedemikian kerana laporan PAC juga mendedahkan reka bentuk jenis SIGMA yang ditukarkan kepada GOWIND oleh syarikat BNS tidak mendapat penyetujuan daripada TLDM seperti mana perbincangan di awal projek.

Selain itu, pemantauan berterusan dan berkala perlu dilakukan oleh kerajaan dan dilaporkan secara umum bagi memastikan kapal LCS siap seperti yang termaktub dalam perjanjian. Cadangan ini diajukan kerana kerajaan telah memberi tempoh selama 6 bulan untuk mengerahkan tenaga menghidupkan semula projek LCS dengan kapal LCS pertama yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan datang.

Justeru, besar harapan saya agar ketirisan projek mega LCS yang melibatkan kedaulatan negara dapat diselesaikan dengan lebih tegas, telus dan komprehensif dengan mengenepikan kepentingan politik.

“Islam Menyatukan Ummah”

YB SENATOR DATO’ HUSAIN AWANG
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 10/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -