Tadbir urus Kelantan jadi model PAS teraju Pahang

- Advertisement -

Oleh HABSAH ALI

KUANTAN: Kerajaan PAS Kelantan sentiasa menjadikan kebajikan rakyatnya sebagai fokus yang utama dalam pentadbiran.

Ini menjadikan sebab utama parti itu mampu bertahan memerintah selama 32 tahun sehingga sekarang.

Banyak insentif disediakan untuk memastikan rakyat yang memerlukan bantuan dibantu sama ada sokongan dari sudut perniagaan mahupun yang memerlukan ilmu pengetahuan disediakan dengan baik.

Asas utama kerajaan negeri adalah membina insan dalam kalangan rakyat supaya mereka menjadi rakyat yang bermaruah bertepatan dengan tema atau slogan Membangun Bersama Islam.

- Advertisement -

Lantaran itu, Ahli Jawatankuasa Harian PAS Pahang yang diketuai oleh Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Rosli Abdul Jabar telah mengadakan lawatan kerja ke Kelantan untuk mempelajari dan mengambil beberapa perkara penting dalam urusan pentadbiran negeri itu, kelmarin.

“Atas sebab itu kita ingin belajar bagaimana mereka menguruskan negeri Kelantan selama ini yang dikatakan sebagai negeri yang agak ketinggalan dan apakah tindakan mereka menguruskan negeri dalam keadaan ekonomi yang agak tidak menentu,” kata Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS negeri, Andansura Rabu ketika dihubungi oleh Harakahdaily.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah berkata, dasar pertanian di negeri Kelantan boleh diambil sebagai satu model yang baik untu dilaksanakan di Pahang.

“Kita melihat peluang yang besar boleh digunakan dari sudut latar belakang bentuk muka bumi dan sebagainya hampir sama, malahan Pahang lebih luas dari sudut tanahnya dan lebih berpotensi besar untuk dimajukan sektor pertanian, yang akan memberikan jaminan kepada rakyat.

“Sekiranya kita diberikan peluang untuk mentadbir negeri Pahang, kita akan memberi fokus yang tinggi terhadap food security dan juga memajukan sektor pertanian sebagai satu sektor yang boleh mendatangkan bukan sekadar pulangan kepada pengusaha petani, usahawan tani dan sebagainya, malahan ia boleh menjamin bekalan makanan dan sumber makanan yang terjamin untuk rakyat Negeri Pahang khasnya,” ujar beliau lagi.

Menurutnya, pertemuan yang singkat di Kompleks Kota Darulnaim itu dapat memberikan input yang banyak kepada pemimpin PAS negeri dan ahli-ahli ke arah menguruskan negeri, sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti sama ada bersendirian atau bersama dengan kumpulan lain.

Pada majlis itu, taklimat ringkas di sampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi Sains dan Teknologi negeri, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa  Belia, Sukan dan NGO, Wan Roslan Wan Hamat.

Ahli Jawatankuasa Harian PAS negeri yang turut serta dalam rombongan itu adalah Timbalan Pesuruhjaya 2 dan 3, Jusoh Darus dan Ustaz Yohanis Ahmad, setiausaha, Hassanudin Salim, Ketua Penerangan Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya yang juga ADUN Pancing, Pengarah Jabatan Pilihan raya, Hamdan Abdullah, Ketua Urusan Ulamak yang juga ADUN Damak, Ustaz Zuridan M.Daud, Ketua Muslimat, Salamiah Mohd Noor.

Turut serta ialah ADUN Tahan, Ustaz Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin, Mohd Sofian Abd Jalil (ADUN Luit), Ustaz Mujibur Rahman Ishak (Chenor) dan Ustaz Shahril Azman Abd Halim (Jengka). – HARAKAHDAILY 10/8/2022

- Advertisement -