Penganjur Kedah Fashion Week akan diambil tindakan

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Penganjur Kedah Fashion Week 2022 (KFW22) akan dikenakan tindakan ekoran program berkenaan tidak mendapat permit serta kelulusan pihak berwajib.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, pihaknya akan memanggil penganjur untuk memberi penjelasan berhubung hal berkenaan.

- Advertisement -

“Setakat ini semakan dibuat, penganjur tidak memohon permit serta tidak mendapat kelulusan dari pihak berkuasa tempatan.

“Malah saya menerima aduan KFW22 menampilkan model dengan pakaian yang menjolok mata,” jelas beliau pada pautan di laman sosialnya, petang semalam.

Terdahulu, Hayati dalam kenyataannya telah mengingatkan penganjur KFW22 agar mematuhi peraturan dan syarat-syarat melalui kelulusan lesen hiburan yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah Kota Setar.

Penganjur juga disarankan mendapat permit kelulusan terlebih dahulu dan dinasihatkan tidak memperagakan pakaian menjolok mata terutama yang bertentangan dengan budaya timur.

Semalam, tular di media sosial gambar model wanita memperagakan pakaian menjolok mata pada KFW22 di sebuah pusat membeli belah di sini yang berlangsung selama tiga hari bermula 5 Ogos lalu. – HARAKAHDAILY 10/8/2022

- Advertisement -