‘Idealis Anak Muda’ gerakan sekularisme baharu di Kelantan?

- Advertisement -

SEKULARISME merupakan ajaran sesat yang telah lama wujud dalam tamadun dunia. Sekularisme ialah fahaman yang memisahkan agama dengan pemerintahan. Orang Kelantan lama sudah kenal fahaman ini dan secara konsisten menolaknya.

Bagi mereka yang mahu berfikir, buka sahaja kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, perkataan Sekular ini diertikan sebagai duniawi. Atau kalian lihat juga Kamus Inggeris Melayu Dewan, halaman 886. Satu lagi kamus Oxford yang mengertikan Sekular sebagai keduniaan dan kebendaan tanpa keagamaan dan kerohanian. Boleh rujuk Oxford Advanced Learner’s Dictionary of Current English, halaman 771. 

Apa pun yang kamus itu dan ini maksudkan, paling mudah untuk kita fahami, Sekularisme adalah fahaman yang mengasingkan hal keduniaan seperti urus tadbir negara, ekonomi, politik dan sebagainya daripada bercampur dengan urusan keagamaan atau ketuhanan. Atau ringkas lagi, fahaman yang ingin membebaskan individu atau diri sendiri daripada cengkaman serta peraturan agama dalam kehidupan.

Di banyak negara umat Islam, ajaran ini dibawa masuk oleh para penjajah ke dalam masyarakat ketika penaklukannya dengan pelaksanaan strategi membuang kuasa agama dalam urusan dunia, khususnya dalam pentadbiran negara. Bahkan dahulu mereka akan sanggup memberi kemerdekaan kepada mana mana tanah jajahan sekiranya rakyat setempat sudah menerima dan mampu meneruskan dasar dasar Sekular itu.

Ramai rakyat Kelantan khasnya dan Malaysia amnya, terkejut dengan perbincangan dalam ‘group whatsapp’ gerakan ‘Idealis Anak Muda Kelantan’ yang dikatakan diketuai oleh beberapa individu yang kononnya mahu mengajak rakyat Kelantan ‘berubah’. Kenapa ia mengejutkan? Sudah pasti kerana masih ada golongan muda yang menjadi ahli gerakan ini yang mengekalkan fahaman Sekular.

Kita tertanya-tanya, adakah ini ciri-ciri pemuda yang ingin membawa perubahan kepada Negeri Kelantan? Kita tahu bahawa sekian lama majoriti rakyat Kelantan telah menolak politik Sekular. Politik yang meletakkan agama suku, politik suku, telah lama kita ‘flush’ ke tangki najis. Sepatutnya anak muda Muslim menjadikan Islam sebagai fundamental utama dalam pemilihan parti politik, dan bukannya menghidupkan kembali pemikiran sesat penjajah.

Kita harus sematkan dalam kefahaman anak Muda bahawa Islam adalah agama yang syumul merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk siasah pentadbiran. Nabi Muhammad S.A.W bukan sekadar seorang Rasul yang membawa syariat agama Islam, malah Baginda merupakan seorang negarawan yang terunggul.

Di saat kutipan filem Mat Kilau mungkin telah mencecah nilai RM100 juta, dan telah mampu menjentik minda dan mengasah jiwa jutaan anak Melayu supaya kembali berpadu atas nama Islam, kini tiba tiba muncul gerakan baharu untuk fahaman sekular yang diperkenalkan penjajah? 

Mat Kilau menentang penjajah disebabkan kezaliman mereka serta fahaman Sekular ini lah dahulu. Ia jelas bertentangan dengan Islam. Dan kebangkitan umat Melayu Islam terjadi pada saat itu dek kerana fahaman sesat ini yang dilihat mampu menjahanamkan akidah Islam dan adat Melayu.

Kita sarankan gerakan ‘Idealis Anak Muda’ ini supaya dipandu dengan benar agar misi dan visi mereka jelas mahu ke mana dan apa tujuan gerakan ini ditubuhkan. Kita tidak mahu gerakan ini diwujudkan hanya untuk menyebarkan fahaman sesat dan boleh merosakkan identiti serta akidah anak muda Muslim, khasnya di Kelantan.

Jika gerakan ini bermotifkan politik, maka suburkan semangat politik dalam kerangka menepati tuntutan agama Islam dan budaya Kelantan. Gerakan ini seharusnya tidak menjadi agen kepada budaya politik Sekular, fitnah dan kebencian.

Ingat, jangan bawa ajaran sesat kembali ke negeri Kelantan yang kita kasihi ini. Kami beri amaran!

MUHAMAD FARHAN SAMSUDDIN
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 9/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -