Qatar 2022: Kegagalan ‘kartel Eropah’

- Advertisement -

PIALA Dunia pertama FIFA di Timur Tengah akan berlangsung di Qatar dari 21 November hingga 18 Disember tahun ini. Ini adalah kali pertama Piala Dunia tidak diadakan pada musim panas Hemisfera Utara. Pada kelazimannya pertandingan bola sepak terulung dunia ini berlangsung pada bulan Jun dan Julai. 

Walaupun pertandingan ini pernah berlangsung di Hemisfera Selatan seperti di Argentina dan Afrika Selatan di mana bulan Jun dan Julai adalah musim sejuk namun pertandingan ini tetap berlangsung pada bulan Jun dan Julai. Untuk Qatar, liga-liga utama di Eropah terpaksa merombak jadual mereka untuk disesuaikan dengan Piala Dunia tahun ini. 

Pertandingan terpaksa berlangsung pada bulan November dan Disember kerana suhu pada bulan Jun dan Julai adalah terlalu panas untuk bola sepak di Qatar. Walaupun terdapat desakan namun FIFA masih bertegas Piala Dunia diadakan di Qatar. 

Ini adalah kerana kuasa kewangan dan pengaruh yang ada pada negara Teluk tersebut. Terdapat juga desakan agar Piala Dunia ini dipindahkan dari Qatar ke negara lain kerana terdapat dakwaan bahawa pekerja-pekerja yang terlibat di dalam membina infrastruktur pertandingan itu telah dilayan dengan begitu buruk. Walau bagaimanapun Qatar dapat menepis dakwaan tersebut.

Undian untuk kumpulan-kumpulan Piala Dunia kali ini telah berlangsung pada 1 April lepas di Doha. Pasukan-pasukan pilihan (Seeded) untuk undian tersebut adalah tuan rumah Qatar walaupun ranking FIFA mereka adalah ke 51, Brazil (Ranking FIFA nombor 1), Belgium (2), Perancis (3), Argentina (4), England (5), Sepanyol (7) dan Portugal (8). 3 pasukan yang banyak mencipta kejayaan sebelum ini tetapi tidak tersenarai dalam kelompok tersebut adalah Belanda (Naib juara 3 kali), Jerman (Juara 4 kali) dan Itali (Juara 4 kali). Itali telah gagal sama sekali untuk layak ke pertandingan kali ini.

Kumpulan-kumpulan adalah seperti berikut:

Kumpulan A – Qatar, Ecuador, Senegal, Belanda.

Kumpulan B – England, Iran, Amerika Syarikat, Wales. 

Kumpulan C – Argentina, Arab Saudi, Mexico, Poland.

Kumpulan D – Perancis, Australia, Denmark, Tunisia.

Kumpulan E – Sepanyol, Costa Rica, Jerman, Jepun.

Kumpulan F – Belgium, Canada, Maghribi, Croatia.

Kumpulan G – Brazil, Serbia, Switzerland, Cameroon.

Kumpulan H – Portugal, Ghana, Uruguay, Korea Selatan.

Brazil merupakan pasukan pilihan untuk menjuarai kejuaraan kali ini. Pasukan pilihan kedua adalah Naib Juara Euro 2020, England. Sementara pilihan ketiga adalah juara Piala Dunia 2018 di Russia, Perancis. Juara Copa America, Argentina, merupakan pilihan keempat. Gergasi-gergasi bola sepak Eropah, Jerman, Belanda dan Sepanyol tidak dilihat akan memberikan cabaran yang serius pada siri kali ini. Jika Brazil dan England menjadi juara kumpulan masing-masing, mereka terpisah pada pusingan kalah mati dan hanya akan bertemu pada perlawanan akhir.

Tuan rumah Qatar tidak dijangka akan mencapai kejayaan cemerlang seperti Jepun dan Korea Selatan ketika mereka menganjurkan siri tahun 2002. Dalam kumpulan A, Belanda dan Senegal dijangka akan layak ke pusingan selanjutnya. Malah Qatar bernasib baik jika mendapat 1 mata dari 3 perlawanan mereka. 

Pemilihan Qatar sebagai tuan rumah sememangnya membingungkan ramai pentadbir bola sepak dunia. Walau bagaimanapun pemilihan mereka tidak boleh dipertikaikan kerana ia berdasarkan undian. Pada peringkat akhir pemilihan Qatar terpaksa berhadapan dengan saingan daripada Amerika Syarikat dan Korea Selatan tetapi berjaya mengatasi mereka walaupun negara Arab itu tidak memiliki sejarah tradisi bola sepak yang panjang. 

Qatar akan menjadi negara terkecil dari segi keluasan yang pernah menganjurkan Piala Dunia. Maka tidak hairan ada yang menuduh Qatar menggunakan taktik yang tidak sepatutnya untuk mendapatkan sokongan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FIFA. Malah ada yang mengaitkan pemilihan Qatar dengan skandal rasuah yang menghantui FIFA. Kita tidak tahu sama ada tuduhan ini berasas atau semata-mata permainan ‘kartel Eropah’. Tetapi tumpuan sekarang adalah kepada aksi-aksi di atas padang.

Pasukan mana yang akan membuat kejutan kali ini? Senegal dengan Sadio Mane yang baru sahaja menyertai Bayern Munich dari Liverpool dijangka akan layak dari kumpulan A. Selepas itu mereka berupaya membuat kejutan. Pada Piala Dunia 2002, Senegal telah mengalahkan juara 1998, Perancis 1-0 pada perlawanan pembukaan. 

Senegal boleh mengikuti jejak Cameroon yang berjaya hingga ke peringkat suku akhir pada Piala Dunia 1990. Wales juga boleh membuat kejutan sepertimana mereka lakukan pada Euro 2020 apabila mereka layak ke pusingan 16 (Round of 16). Mereka mungkin tidak dapat menundukkan England dalam kumpulan A tetapi dengan bekas pemain Real Madrid, Gareth Bale, mereka berupaya mengalahkan Amerika Syarikat dan Iran untuk layak ke pusingan seterusnya.

Keupayaan wakil CONCACAF Kanada juga tidak boleh dipandang rendah. Dengan pemain berumur 21 tahun, Alphonso Davies, dari Bayern Munich dan Jonathan David dari Lille, Kanada adalah satu pasukan yang berupaya untuk pergi jauh.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 5/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -