Cuaca panas ekstrem bakal jejas China

- Advertisement -

SHANGHAI: China mengeluarkan amaran bahawa perubahan corak cuaca di negara itu bakal menjejaskan keseimbangan sumber air, yang akan menjadikan ekosistem lebih terdedah dan mengurangkan hasil tanamannya.

Ia adalah susulan purata suhu tanah di negara itu telah meningkat lebih cepat daripada purata global sejak 70 tahun lalu dan akan kekal lebih tinggi dengan ketara pada masa hadapan apabila cabaran perubahan iklim meningkat.

- Advertisement -

Dalam penilaian iklim tahunan yang diterbitkan pada minggu ini, Biro Cuaca China berkata,  negara itu telah disifatkan sebagai ‘kawasan sensitif dalam perubahan iklim global’, dengan suhu meningkat 0.26 darjah Celsius (0.47 darjah Fahrenheit) sedekad sejak 1951, berbanding purata global 0.15 darjah, lapor Reuters.

Menurut Naib Pengarah Pusat Iklim Nasional (NCC) China, Yuan Jiashuang, pada masa hadapan, peningkatan purata suhu serantau di negara itu  akan jauh lebih tinggi daripada dunia.

Cuaca ekstrem telah mendatangkan malapetaka dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan gelombang haba yang panjang menyebabkan kemarau dan kebakaran hutan di seluruh dunia. 

Hujan lebat mengikut sejarah di sesetengah negara juga telah menyebabkan banjir yang membawa maut dalam kalangan penduduk.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres memberi amaran pada bulan lalu bahawa tiada negara yang kebal daripada perubahan iklim dan berkata bahawa dunia kini terpaksa memilih antara ‘tindakan kolektif atau bunuh diri kolektif’.

Terdahulu, China telah mengalami cuaca terik berminggu-minggu, dengan suhu mencecah melebihi 44 darjah Celcius  di barat daya Yunnan dan Hebei di bahagian utara China.

Sebanyak 131 stesen cuaca China telah merekodkan suhu yang menyamai atau melebihi paras tertinggi dalam sejarah, meningkat daripada 62 untuk keseluruhan tahun lepas, menurut data NCC.

Data penilaian iklim China pada 2021 menunjukkan paras air pantai tahun lepas berada pada angka tertinggi sejak 1980. 

Pengurangan glasier turut dipercepatkan, manakala permafrost aktif di sepanjang Lebuhraya Qinghai-Tibet mencapai rekod tertinggi dan jumlah ais dalam laut terus menurun.

China juga mencatatkan peningkatan 7.9 peratus litupan tumbuh-tumbuhan pada 2021 berbanding purata 2001 hingga 2020, dan penilaian menyatakan tempoh pertumbuhan untuk kebanyakan tumbuhan bermula lebih awal setiap tahun. – HARAKAHDAILY 5/4/2022

- Advertisement -