Empangan Nenggiri dan Lebir: Apa yang rakyat perlu?

MENYELAMATKAN rakyat Kelantan daripada banjir adalah keutamaan. Atas tujuan ini, inisiatif Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) dan Rancangan Tebatan Banjir dilaksanakan bagi mengatasi masalah banjir ini.

Bagi Lembangan Sungai Golok, projek PLSB Sungai Golok (Kesban) Fasa 1 telah siap 60 peratus. Lawatan Ketua Setiausaha Negara baru-baru ini adalah signifikan bagi kemaslahatan rakyat bagi mengatasi banjir yang berpunca daripada limpahan air Sungai Golok.

Lembangan Sungai Kelantan mencatatkan 9 kali banjir besar iaitu pada tahun 1926, 1967, 1971, 1974, 1980, 1988, 1994, 2004 dan 2014. Aliran air besar yang tak terkawal dalam lembangan Sungai Kelantan adalah pencetus penting terhadap insiden banjir-banjir besar ini.

Bagi menangani masalah banjir dalam Lembangan Sungai Kelantan ini terdapat dua pendekatan yang akan dilaksanakan iaitu:

1. Pendekatan pertama: melakukan mitigasi melalui projek PLSB serta Rancangan Tebatan Banjir (RTB).

2. Pendekatan kedua: mengawal aliran air yang masuk ke dalam Lembangan Sungai Kelantan.

Bagi pendekatan pertama, pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan telah melepasi fasa 1 dan memasuki fasa 2. Pembangunan fasa 2 bagi komponen bagi seluruh Sungai Kelantan yang melibatkan kos lebih kurang RM1.9 bilion.

Manakala untuk RTB yang melibatkan tiga pakej utama seluruh Sungai Kelantan iaitu RTB Kuala Krai, dianggarkan kos lebih kurang RM700 juta, RTB Tanah Merah lebih kurang RM440 juta dan RTB Kota Bharu dengan kos RM750 juta. Struktur bagi RTB Kuala Krai, mempunyai empat komponen utama yang melibatkan pembinaan ban ataupun tembok banjir, pengorekan sungai dan pembinaan pintu kawalan banjir serta pengalihan utiliti. 

Pendekatan kedua pula dapat lihat melalui jawapan lisan Menteri KASA di Parlimen pada 18 Julai 2022 menyatakan bahawa banjir di Sungai Kelantan disumbangkan oleh dua lembangan sungai utama iaitu Sungai Lebir yang menghasilkan lebih kurang 60 peratus dan Sungai Nenggiri sebanyak 20 peratus daripada punca air banjir di Kelantan.

Air banjir yang melimpah ruah sepanjang sungai Kelantan, menjadi bencana yang menenggelamkan penempatan ataupun mengalir terus ke dalam laut tanpa dimanfaatkan. Ada satu kajian yang dibentangkan pada April 2016 dalam Persidangan Kajian Bencana Banjir 2014 anjuran Universiti Teknologi Malaysia menyatakan bahawa air hujan 7 hari musim tengkujuh di Lembangan Sungai Kelantan jika disimpan ia dapat menampung bekalan air Kelantan selama 1 tahun.

Maka atas asas inilah timbulnya keperluan mengawal aliran air dan menyimpannya untuk dimanfaatkan demi kegunaan penduduk di Kelantan melalui projek Empangan Lebir dan Empangan Nenggiri.

Dengan adanya kedua-dua empangan ini, risiko terhadap banjir di sepanjang Sungai Kelantan dapat diminimakan apabila air yang turun daripada Lembangan Sungai Lebir dan Lembangan Sungai Nenggiri tidak dibiarkan turun sekali gus ke dalam Sungai Kelantan. Di samping itu simpanan air dalam empangan tersebut akan menjamin kelestarian sumber air untuk kegunaan seluruh Negeri Kelantan. 

Kedua-dua projek empangan ini sekurang-kurangnya berfungsi secara serampang 2 mata, bahkan bagi empangan Nenggiri ia bakal berfungsi sebagai serampang 3 mata apabila juga bakal dibina untuk tujuan penjanaan hidroelektrik yang disifatkan sebagai teknologi hijau.

Keputusan melaksanakan pendekatan kedua ini dibuat dengan teliti setelah mempertimbangkan kemanfaatan tertentu yang terpaksakan dilepaskan. Sememangnya Kerajaan Negeri Kelantan mempunyai kos lepas apabila projek kawalan air melalui empangan ini dilaksanakan. Terdapat NGO-NGO yang melahirkan kerisauan atas kepentingan biodiversiti, warisan dan kelestarian masyarakat orang asli.

Sebagai kerajaan akhirnya keputusan yang berat terpaksa dibuat yang dan sudah pasti takkan terlepas daripada kritikan keras daripada pihak-pihak tertentu yang memperjuangkan sesuatu perkara. 

Persoalan penting yang perlu dijawab, bagaimanakah penyelesaian rancangan tebatan banjir tanpa kawalan air melalui empangan yang dicadangkan di musim tengkujuh? Bagaimanakah kelestarian simpan sumber air mentah untuk bekalan yang memenuhi permintaan di musim kemarau?

Jaminan sekuriti air Kelantan untuk jangka panjang akhirnya berada di persimpangan antara kepentingan memelihara biodiversiti dan tuntutan hak orang asal. Isu ini akan terus diperdebatkan atas tema perbincangan kelestarian alam sekitar. Semoga apa saja keputusan yang diambil adalah terbaik untuk semua aspek dan keutamaan demi kepentingan yang holistik dan menyeluruh.

ZIKRULLAH ISMAIL
Darulnaim Research Centre
5 Ogos 2022 – HARAKAHDAILY 5/8/2022

Advertisement