Kadar bantuan kewangan 5 skim JKM dinaikkan

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff.
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan kenaikan kadar bantuan kewangan lima skim utama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tahun lalu.

Skim berkenaan ialah Bantuan Kanak-Kanak (BKK), Bantuan Penjagaan OKU/Pesakit Kronik Terlantar (BPT), Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB), Elaun Pekerja OKU (EPOKU) dan Bantuan Warga Emas (BWE).

- Advertisement -

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata secara keseluruhan, kenaikan kadar berkenaan memberi manfaat kepada seramai 416,236 penerima bantuan skim berkenaan.

Menurutnya, kadar BKK dinaikkan daripada RM100 kepada RM150 bagi seorang kanak-kanak dengan kadar maksimum RM1,000 sebulan satu keluarga.

Katanya, kenaikan itu memberi manfaat kepada 65,599 keluarga miskin dan sebanyak RM165.53 juta peruntukan telah disalurkan setakat Jun lalu.

“BPT dinaikkan daripada RM350 kepada maksimum RM500 mengikut keperluan kes yang memberi manfaat kepada 26,163 penjaga OKU dan pesakit terlantar. Peruntukan sebanyak RM79.4 juta telah disalurkan sehingga Jun lalu.

“BTB pula dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 yang memberi manfaat kepada 89,075 OKU yang tidak bekerja dan sebanyak RM160.2 juta peruntukan disalurkan sehingga Jun lalu,” katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) yang meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menyatakan sama ada kementerian berhasrat untuk mengkaji semula kadar bantuan kewangan JKM kepada penerima sedia ada supaya selari dengan kos sara hidup semasa.

Siti Zailah berkata, EPOKU dinaikkan daripada RM400 kepada RM450 yang memberi manfaat kepada 95,820 OKU yang bekerja dengan sebanyak RM 257.9 juta peruntukan disalurkan sehingga Jun lalu.

Katanya, BWE pula dinaikkan daripada RM350 kepada RM500 dan memberi manfaat kepada 138,949 warga emas dan sebanyak RM421.2 juta peruntukan disalurkan setakat Jun lalu.

“Bantuan kewangan itu bertujuan meringankan beban kumpulan sasar yang bersifat sementara, sehingga kumpulan sasar ini mampu untuk keluar dari putaran kemiskinan ke arah hidup berdikari.

“Bantuan kebajikan bukan untuk menampung kos sara hidup sepenuhnya, sebaliknya untuk membantu kelangsungan hidup kumpulan sasar yang layak dan memerlukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/8/22

- Advertisement -