Perginya seorang pemimpin politik yang berintegriti

- Advertisement -

NAMA Tan Sri Khalid Ibrahim sememangnya telah lama tersohor sebelum saya kenal rapat dengan beliau. Beliau seorang tokoh korporat yang begitu hebat dan pemikir ekonomi yang ulung. 

Hanya ketika menjelang PRU ke-12 tahun 2008, beliau mula terlibat aktif dengan politik. Beliau telah memilih wadah PKR sebelum PRU ke-12 untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil DUN Ijok. 

Meskipun beliau bertanding atas tiket PKR ketika itu, Tan Sri Khalid sering menyebut beliau sangat terhutang budi dengan jentera PAS yang bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk memenangkan beliau. Ia menjadi antara sebab Tan Sri Khalid rapat membantu PAS selepas tahun 2014.

Saya mula kenal rapat dengan Tan Sri Khalid ketika beliau di ambang kejatuhan kerana dikhianati oleh PKR dan DAP, serta segelintir kecil pimpinan PAS pada tahun 2014. 

PKR dan DAP telah menarik sokongan daripada menyokong Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar Selangor. Pada ketika itu di dalam kepimpinan PAS juga sudah mula bergolak kerana ada desakan dari sebilangan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat yang mahukan PAS turut menarik sokongan sebagaimana PKR dan DAP. 

Bagaimanapun Mursyidul Am waktu itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tetap tegas mempertahankan Tan Sri Khalid.

Saya dan beberapa orang sahabat yang berada dalam Jawatankuasa Kerja PAS Pusat ketika itu seperti Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Dr Khairuddin Aman Razali dan Dr Ridhuan Mohamad Nor menjadi benteng dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mempertahankan ketegasan kedua-dua pimpinan utama PAS tersebut. 

Saya masih ingat di dalam satu Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, saya menghentak meja dan Dr Ridhuan hampir bergaduh dengan seorang Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang menentang keputusan tegas Mursyidul Am dan Presiden PAS membela Tan Sri Khalid.

Disebabkan peristiwa Langkah Kajang dan ketegasan PAS mempertahankan Tan Sri Khalid lah, mendorong saya kemudiannya terlibat sepenuh masa dengan politik. Ketika suasana politik dalaman Pakatan Rakyat yang kelam-kabut, bocor perbincangan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dalam aplikasi WhatsApp, bahawa saya mencadangkan PAS bekerjasama dengan Umno di Selangor untuk mengekalkan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar. 

Perbincangan yang bocor itu, telah menjadikan saya sebagai bahan berita utama akhbar menjelang Aidil Fitri tahun 2014. Ketika itu identiti saya sebagai penjawat awam yang terlibat dengan parti politik mula terdedah, kesannya pada tahun 2016 saya terpaksa bersara awal. 

Desakan yang kuat dari dalaman PAS supaya menarik sokongan dari Tan Sri Khalid sekali gus mereka ini menentang ketegasan Mursyidul Am dan Presiden PAS, menyebabkan perpecahan dalaman PAS semakin bergolak. 

Kemuncaknya, berlaku komplot sebahagian Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat ketika itu untuk mendorong dua ADUN PAS di Selangor membuat perakuan bersumpah menarik sokongan dari Tan Sri Khalid. 

Akhirnya sokongan terhadap Tan Sri Khalid tinggal minoriti, dan Kabinet Tan Sri Khalid hanya tinggal empat Exco PAS yang terus bertahan. Pada 26 Ogos 2014, Tan Sri Khalid telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar.

Peristiwa peletakan jawatan Tan Sri Khalid ditangisi oleh rakyat Selangor, kerana mereka kehilangan seorang pemimpin yang begitu beramanah dan berintegriti. Saya menjadi saksi, Tan Sri Khalid adalah seorang Menteri Besar yang cukup amanah menjaga khazanah negeri dan sangat berintegriti dalam menguruskan Negeri Selangor. 

Disebabkan sifat amanah dan integriti beliau inilah, beliau difitnah oleh parti beliau sendiri dan kemudiannya beliau telah dipecat daripada parti. Oleh sebab itu, selepas peristiwa fitnah dan pemecatan Tan Sri Khalid ini, saya tidak lagi percaya ‘sembang-sembang kosong’ pimpinan PKR, DAP dan PAN mengenai amanah dan integriti, semuanya karut.

Setelah peristiwa itu, saya mula rapat dengan Tan Sri Khalid yang ketika itu sudah bertekad untuk membantu PAS. Saya mula kerap mengunjungi kediaman Tan Sri Khalid di Bukit Bandar Damansara bersama-sama dengan Dr Khazani Abdullah, antaranya termasuklah membincangkan hal-hal yang berkaitan strategi dan perkembangan politik semasa. 

Biasanya sebelum perbincangan kami solat berjamaah bersama dan pernah juga pada bulan Ramadan kami solat tarawih bersama di kediaman beliau. Banyak juga perkara-perkara yang tidak diketahui ramai berkaitan pemecatan beliau, Tan Sri Khalid ceritakan kepada kami dalam siri-siri pertemuan tersebut.

Saya juga sempat beberapa kali berceramah politik sepentas dengan beliau, atas azamnya untuk membantu PAS meraih sokongan rakyat bagi memenangi pilihan raya. Dalam PRU ke-14 tahun 2018, beliau turun berceramah di Shah Alam yang secara langsung membantu saya sebagai calon mewakili PAS bertanding di kawasan Parlimen tersebut. 

Beliau selalu ungkitkan beliau terhutang budi dengan jentera PAS dan dukungan PAS terhadap beliau. Malah ketika beliau di ambang pemecatan, beliau secara peribadi pernah berkunjung menemui Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Pulau Melaka, Kelantan, mengucapkan terima kasih atas dukungan PAS.

Tanggal 31 Julai 2022, yang merupakan sambutan Hari Pahlawan di Malaysia, seorang lagi pahlawan tanah air meninggalkan kita semua. Tan Sri Khalid menghembuskan nafas terakhir setelah selesai dibacakan surah Yasin dan doa di sisi pembaringan beliau oleh Imam dari Masjid Negeri Shah Alam. 

Selepas solat Zuhur, ribuan orang telah mensolatkan jenazah beliau termasuklah Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden PAS, Dato’ Ustaz Idris Ahmad. Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor juga telah mencemar duli untuk menyaksikan jenazah Tan Sri Khalid dikebumikan di Permakaman Di Raja Selangor, Shah Alam. 

Sebaik sahaja jenazah selesai dikebumikan hujan renyai-renyai mulai turun membasahi bumi Shah Alam, seolah-olah alam turut bersedih dengan pemergian seorang tokoh yang hebat dilahirkan di negeri ini. 

Tan Sri Khalid telah meninggalkan legasi kepimpinan Negeri Selangor yang sukar ditandingi, dan telah meletakkan piawai kepimpinan beramanah dan berintegriti yang tinggi untuk menjadi panduan kepada pimpinan-pimpinan akan datang. Ya Allah Yang Maha Penyayang, letakkan kedudukan beliau di sisiMu sebagai seorang ‘Imamul Adil’ yang dijanjikan payungMu di Padang Mahsyar kelak.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat– HARAKAHDAILY 1/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -