Subsidi minyak masak pek polibeg 1 Kg diteruskan

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih meneruskan program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS), iaitu subsidi minyak masak dalam pek polibeg 1 kilogram dengan harga jualan runcit RM2.50/kg.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Rosol Wahid, berkata subsidi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol pula tidak lagi diteruskan mulai 1 Julai lalu.

- Advertisement -

Sebelum ini, katanya kerajaan memutuskan untuk memberi subsidi sementara bagi minyak masak dalam botol 1 hingga 5 kilogram bermula Ogos 2021 hingga Jun lalu.

“Ia bertujuan mengurangkan bebanan rakyat berikutan cabaran ekonomi akibat pandemik Covid-19 dan kenaikan mendadak harga Minyak Sawit Mentah (MSM) di pasaran global yang memberi kesan langsung kepada harga jualan minyak sawit tulen dalam botol di pasaran tempatan.

“Subsidi bagi minyak masak dalam botol ini membolehkan Keluarga Malaysia menikmati minyak masak sawit tulen dalam botol pada harga terkawal dengan paras maksimum RM29.70 bagi botol 5 kilogram,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, penamatan subsidi minyak masak sawit tulen dalam botol tidak bermaksud kerajaan tidak prihatin akan bebanan rakyat berikutan kos barangan mentah yang mengalami kenaikan mendadak.

Sementara itu menjawab soalan tambahan, Rosol berkata kerajaan membelanjakan kira-kira RM382 juta sepanjang 11 bulan lalu untuk menanggung subsidi minyak masak dan ini tidak termasuk kos subsidi barangan lain seperti gula.

Mengenai jumlah syarikat yang dikenakan tindakan kerana penyeludupan minyak masak, katanya sebanyak 14 syarikat kini dalam proses dikenakan tindakan undang-undang.

Katanya, kerajaan juga mempertingkatkan penguatkuasaan, intipan dan sistem audit terhadap syarikat yang dilesenkan untuk membungkus minyak masak bagi memastikan tiada kebocoran.

“Melalui sistem audit, kita dapat lihat punca kebocoran yang jika tidak dapat diatasi sepenuhnya dapat mengurangkan kebocoran, sama ada dalam negara mahu pun ke luar negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/7/22

- Advertisement -