Celik politik: Tok lebai lebih dihormati orang kampung

Foto hiasan.
- Advertisement -

M FAQIH

ADA
ketikanya kita mendengar orang menyebut politik kampung. Ini seakan menggambarkan di kampung pun ada politik. Sedangkan ramai faham, politik melibatkan pentadbiran negara atau negeri.

Dan apabila disebut politik kampung, ramai akan teringat kepada penghulu atau tok imam. Politik digambarkan kepimpinan dalam komuniti. Ia membawa maksud ada pemimpin dan ada rakyat. 

Sebenarnya politik ada di mana-mana. Bukan sekadar di kampung, desa, pekan atau bandar. Cuba kita tengok istilah politik dalam Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

- Advertisement -

Biasanya di tanah Malaya, kalau kita tidak faham sesuatu istilah, maka pakat-pakat rujuk kepada Kamus Dewan. Malah, dalam kajian sarjana pun biasa ada petikan daripada Kamus Dewan.

Ringkas cerita politik ialah ilmu (pengetahuan) mengenai cara pemerintahan. Ia meliputi ilmu siasah dan ilmu kenegaraan. Disebut juga sesuatu pemerintahan sesebuah negara dan hubungan dengan negara-negara lain.

Politik juga disebut sebagai proses dan cara membuat keputusan. Ia bisanya merujuk kepada sesebuah kerajaan. Inilah yang anak muda perlu tahu.

Bagaimana pula dengan tingkah laku politik. Elemen itu juga boleh didapati dalam sektor korporat, akademik, agama dan pelbagai segmen lain. 

Ini secara tidak langsung membawa makna politik sesuatu bidang yang cukup luas.

Politik juga ada politik tradisional dan politik moden. Sarjana Syed Ahmad Hussein menyebut politik tradisional berpangkal kepada adat tradisi, kebudayaan dan agama. Mereka yang menguasai segmen tersebut akan dihormati masyarakat.

Adat tradisi ada kaitan dengan istana atau keturunan pahlawan. Kebudayaan pula boleh dikaitkan dengan individu yang ada pengaruh tertentu, misalnya kemampuan berbomoh atau tabib.

Atau memiliki kelebihan yang jarang ada pada orang lain. Biasanya individu terbabit dihormati masyarakat tradisional. Begitu juga mereka yang ada ilmu agama. Orang kampung sebut sebagai tok lebai.

Tradisi orang Melayu di mana sahaja, tok lebai dipanggil ke rumah mereka untuk solat hajat, tahlil, tahnik bayi dan pelbagai lagi.

Maka tok lebai begitu dihormati orang kampung. Kebiasaannya juga pihak yang dianggap ketua merupakan individu yang sudah berumur. Mereka banyak pengalaman dan ilmu pengetahuan.

Maka orang kampung menghormati individu yang ada pengaruh tersebut. Setiap masalah yang berlaku akan dirujuk kepada tok ketua terbabit.

Inilah yang disebut sebagai politik tradsional.

Pengaruh luar

Bagaimanapun politik kampung akan rosak apabila masuk pengaruh dari luar. Unsur luar boleh merencatkan amalan tradisional apabila ada penduduk tempatan terpengaruh.

Bermula dari situlah akan berlaku pertembungan sehingga merosakkan politik tradisional yang dipertahankan sejak zaman berzaman.

Situasi itu berlaku di mana-mana. Berlaku juga di Barat sehingga pengaruh gereja diranap ekoran pertembungan dengan golongan renaissance. Ia disebut sebagai era pencerahan berlaku selepas abad ke-16.

Bermula dari situ ketuanan gereja dipertikaikan golongan pemikir dan ahli falsafah Eropah. Zaman kesedaran (enlightenment) berlaku lebih 500 tahun lalu.

Inilah yang anak-anak muda perlu tahu. Sejarawan juga berhujah dari situ muncul Revolusi Perindustrian. Ia berlaku akibat perubahan sosial dan institusi yang berlaku sehingga berakhir sistem feudalisme di Great Britain setelah tamat Perang Saudara Inggeris pada kurun ke-17.

Kemunculan era pencerahan tersebut juga politik tradisional mulai terhakis. Biarpun tok lebai, penghulu, imam masih wujud sehingga sekarang, namun sistem kehidupan masyarakat berubah.

Selepas itu muncul apa yang dinamakan sebagai demokrasi. Sistem itu di mana pemimpin dipilih oleh rakyat melalui kertas undi. Bukan lagi pelantikan tok ketua dibuat secara tradisi turun temurun.

Demokrasi mengambil kira pelbagai faktor termasuk kelayakan dan pengaruh.

Ciri utama politik moden ialah kedaulatan rakyat.

Politik moden merangkumi unsur penting termasuk hak asasi manusia, kedaulatan rakyat, pengesahan dari rakyat dan kumpulan berkepentingan. – HARAKAHDAILY 25/7/2022

- Advertisement -