Robert Lewandowski: Barcelona dan Bayern Munich capai persetujuan

Pemain berasal dari Poland ini semakin hampir menyarung jerrsi Barcelona
- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

Barcelona mencapai “perjanjian secara prinsip” dengan Bayern Munich untuk menandatangani penyerang Poland, Robert Lewandowski.

Pemain berusia 33 tahun itu yang mempunyai baki setahun dalam kontrak Bayern, menyuarakan hasratnya bulan lalu untuk meninggalkan juara Jerman itu.

- Advertisement -

Lewandowski menjaringkan 50 gol dalam 46 perlawanan musim lalu ketika membantu Bayern memenangi kejuaraan Bundesliga ke-10 berturut-turut.

Barca menyatakan bahawa perjanjian itu “bergantung kepada pemain lulus ujian perubatan dan menandatangani kontrak.”

“Bagus apabila perkara ini jelas kepada semua pihak,” kata Presiden Bayern, Herbert Hainer, yang kali pertama mengumumkan perjanjian itu, semalam.

“Kami telah mencapai persetujuan lisan dengan Barcelona.”

“Robert adalah pemain luar biasa dan dia memenangi segala-galanya bersama kami. Kami amat berterima kasih kepadanya,” katanya.

Lewandowski menyertai Bayern secara percuma dari Borussia Dortmund pada 2014 dan menjaringkan 344 gol dalam 374 perlawanan untuk kelab itu, menjadikannya penjaring kedua terbanyak sepanjang zaman di belakang legenda Bayern, Gerd Muller.

Lewandowski memenangi kejuaraan liga sepanjang lapan musimnya di Bayern dan turut membantu kelab itu memenangi Liga Juara-Juara pada musim 2019-20.

Sementara itu, Bayern mengumumkan bahawa pemain sayap Jerman, Serge Gnabry, 27, telah menandatangani lanjutan kontrak sehingga 2026.

Barcelona pula melengkapkan pembelian Raphinha dari Leeds, Jumaat lalu, dalam perjanjian bernilai sehingga £55 juta (RM290 juta) setelah menandatangani Franck Kessie dan Andreas Christensen secara percuma, awal bulan ini. – HARAKAHDAILY 17/7/22

- Advertisement -