Raheem Sterling sah milik Chelsea

Raheem Sterling dibeli dalam perjanjian bernilai RM264 juta
- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

Chelsea mengesahkan pembelian penyerang England, Raheem Sterling dari Manchester City dalam perjanjian bernilai £50 juta (RM264 juta).

Sterling, 27, menandatangani kontrak yang mengikatnya selama lima tahun di Stamford Bridge.

- Advertisement -

Ketika membeli Sterling dari Liverpool pada 2015, City menandatangani perjanjian bernilai £49 juta (RM258 juta). Dia menjaringkan 131 gol dalam 339 perlawanan dan memenangi empat kejuaraan Liga Perdana.

Mewakili England sebanyak 77 kali, Sterling adalah pemain utama pertama dibeli bos Chelsea, Thomas Tuchel sejak pengambilalihan kelab itu yang diketuai oleh Todd Boehly.

Sementara itu, Chelsea semakin hampir mendapatkan tanda tangan pemain pertahanan Napoli, Kalidou Koulibaly dan pemain pertahanan tengah Manchester City, Nathan Ake.

“Banyak yang telah dicapai sepanjang kerjaya saya setakat ini. Namun, masih banyak lagi yang perlu dicapai dan saya sangat tidak sabar melakukannya bersama Chelsea, di bawah pengurusan Thomas,” kata Sterling.

“London adalah rumah saya dan menakjubkan, saya kini mempunyai peluang untuk bermain di hadapan rakan-rakan dan keluarga di Stamford Bridge. Saya tidak sabar bertemu peminat di sana tidak lama lagi,” katanya.

Sterling mempunyai baki satu tahun dalam kontraknya bersama City, menarik minat banyak kelab utama di luar negara.

Pengerusi dan pemilik bersama Chelsea, Boehly berkata: “Raheem Sterling adalah pemenang bersiri dan pembeliannya merupakan langkah penting bagi mengukuhkan skuad ini. Kami gembira Raheem kembali ke London bersama Chelsea dan tidak sabar melihat bakat pemain bertaraf dunia di Stamford Bridge,” katanya.

City sanjung Sterling

Sterling menghantar mesej selamat tinggal memberitahu bahawa dia akan meninggalkan City “sebagai seorang lelaki” sambil menambah: “Tujuh musim, 11 kejuaraan utama, kenangan sepanjang hayat.”

Dalam satu kenyataan, City memberi penghormatan kepada Sterling yang diiktiraf sebagai antara pemain zaman moden terhebat kelab itu.

Sejak Pep Guardiola menjadi pengurus City pada 2016, hanya Sergio Aguero (124) menjaringkan lebih banyak gol untuk City berbanding Sterling (120).

Sterling menjaringkan 13 gol dalam 30 penampilan Liga Perdana musim lalu ketika dia memenangi kejuaraan liga keempatnya, kejuaraan utamanya yang ke-11 sepanjang tujuh musim bersama City.

Pengarah bola sepak City, Txiki Begiristain, berkata: “Raheem menjadi pemain yang hebat untuk Manchester City dan dia meninggalkan kelab kami dalam keadaan terbaik selepas membantu kami memenangi satu lagi gelaran Liga Perdana.

“Dia memainkan peranan yang sangat penting dalam kejayaan kami sepanjang beberapa musim lalu. Kehebatannya sama ada di padang atau luar padang menjadi inspirasi kepada banyak pihak.

“Beliau akan menjadi sebahagian daripada Manchester City selama-lamanya dan kami mengucapkan selamat maju jaya dan dia sentiasa dialu-alukan di kelab ini.”

Peluang Sterling semakin terhad selepas City membeli Jack Grealish musim panas lalu dan ini disukarkan lagi dengan kehadiran Erling Haaland dan Julian Alvarez di Stadium Etihad, musim panas ini.

Sterling berada di bangku simpanan ketika City tewas dalam kedua-dua perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara kepada Real Madrid dan perlawanan akhir epik musim ini menentang Aston Villa.

Bagaimanapun, Sterling mencetuskan kebangkitan hari terakhir yang tidak dapat dilupakan dengan menjadi arkitek kepada gol pertama Ilkay Gundogan yang penting ketika City mengatasi Everton 3-2 selepas ketinggalan 2-0 dan menghalang Liverpool meraih kejuaraan liga.

Bos Chelsea, Tuchel, berusaha meningkatkan ketajaman barisan serangannya selepas Romelu Lukaku, menyertai Inter Milan secara pinjaman sepanjang musim.

Penyerang Belgium itu merupakan penjaring terbanyak The Blues musim lalu dengan 15 gol dalam semua pertandingan, di hadapan Kai Havertz (14) dan Mason Mount (13). – HARAKAHDAILY 14/7/22

- Advertisement -