Mengenang tragedi Srebrenica 27 tahun lalu

Seorang wanita Bosnia mendoakan saudara-maranya yang terkorban
- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

Setiap tahun pada 11 Julai, mangsa pembunuhan beramai-ramai Srebrenica di Bosnia Herzegovina yang baharu dikenal pasti akan dikebumikan di tanah perkuburan di Potocari, timur negara itu.

Kali terakhir pengebumian diadakan sebelum wabak Covid-19 melanda ialah pada 2019. Seramai 33 mangsa dikebumikan pada hari itu menjadikan mereka yang disemadikan di tanah perkuburan itu meningkat kepada 6,643 orang.

- Advertisement -

Mangsa termuda, Osman Cvrk, berusia 16 tahun dan Saha Cvrk, yang tertua berusia 82 tahun adalah antara yang dikebumikan.

Tahun ini adalah ulang tahun ke-27 dan majlis memperingati tragedi itu terus diadakan di Potocari.

Kali ini, kerajaan Belanda memohon maaf kepada penduduk Islam yang kehilangan saudara-mara mereka dalam pembunuhan beramai-ramai itu.

Menteri Pertahanan Belanda, Kajsa Ollongren, memohon maaf dengan berkata: “Belanda adalah antara pihak yang terbabit dalam tragedi itu. Di sebalik segala-galanya, Srebrenica dihancurkan…Belanda juga sebahagian daripada kegagalan ini. Kami memohon maaf sedalam-dalamnya.”

Menurutnya, institusi antarabangsa berjanji untuk melindungi orang yang tidak bersalah.

“Namun, komuniti antarabangsa gagal melindungi rakyat Srebrenica. Sebagai sebahagian daripada komuniti ini, kerajaan Belanda berkongsi tanggungjawab politik terhadap kegagalan ini.

“Kami tidak boleh menghilangkan penderitaan. Apa yang boleh dilakukan ialah memberitahu apa yang kami nyatakan adalah benar,” katanya.

Pengebumian mangsa pembunuhan beramai-ramai di Potocari, Bosnia Herzegovina

Menjejaki tragedi Srebrenica

Bermula pada tahun 1992, tentera Serb Bosnia menyasarkan Srebrenica bagi menguasai wilayah timur Bosnia Herzegovina. Matlamat akhir ialah untuk menggabungkan wilayah itu dalam Republik Serbia dan ini memerlukan pengusiran penduduk Islam yang menentang rancangan itu.

Pada Mac 1995, Presiden Republika Srpska, Radovan Karadzic, yang mengisytiharkan sendiri kawasan autonomi itu, mengarahkan pasukan tenteranya mewujudkan keadaan yang penduduk Islam Srebrenica tidak akan dapat bertahan untuk terus hidup.

Menjelang Mei tahun itu, tentera Serb Bosnia mengenakan sekatan makanan dan bekalan lain yang memaksa kebanyakan pejuang Islam Bosnia di Srebrenica terpaksa berundur dari kawasan itu.

Pada penghujung Jun, selepas beberapa pertempuran dengan pejuang Islam Bosnia yang masih bertahan, tentera Serb Bosnia secara rasmi mengarahkan operasi dengan nama kod Krivaja 95 yang kemuncaknya adalah pembunuhan beramai-ramai penduduk Islam.

Serangan bermula pada 6 Julai. Tentera Serb Bosnia mara dari selatan dan di sepanjang perjalanan membakar rumah penduduk Islam Bosnia. Ketika huru-hara dan keganasan melanda, ribuan orang awam melarikan diri dari Srebrenica ke kampung berdekatan, Potocari, yang menempatkan kira-kira 200 pasukan pengaman Belanda.

Malangnya sebahagian tentera Belanda menyerah diri, manakala yang lain berundur. Tidak ada sebutir peluru pun dilepaskan ke arah pasukan Serb Bosnia yang sedang mara.

Pemimpin Serb Bosnia, Radovan Karadzic (kanan) dan pemerintah tentera Serb Bosnia, Ratko Mladic (kiri)

Pada 11 Julai, pemimpin tentera Serb Bosnia, Ratko Mladic berjalan melalui Srebrenica dan dalam satu kenyataan yang dirakam dalam video oleh seorang wartawan Serbia, berkata: “Kami memberikan bandar ini kepada negara Serb…masa telah tiba untuk membalas dendam terhadap orang Islam.”

Pada malam 11 Julai, lebih 10,000 penduduk Islam Bosnia meninggalkan Srebrenica melalui hutan tebal bagi mengelakkan menjadi mangsa keganasan. Keesokan pagi, pegawai tentera Serb Bosnia menggunakan peralatan PBB untuk mengumpan penduduk supaya menyerah diri.

Ribuan penduduk yang terpedaya menyerah diri hanya untuk ditangkap dan kemudian menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai. Penduduk Bosnia lain yang dipaksa keluar dari Potocari pada hari itu juga menjadi mangsa pembunuhan dan rogol tentera Serb Bosnia.

Wanita, kanak-kanak, dan orang tua, ditempatkan dalam bas. Lelaki dewasa dan kanak-kanak lelaki pula dibawa pada 12 dan 13 Julai ke pelbagai tempat, kebanyakan di Bratunac.

Pembunuhan berlaku seawal petang 12 Julai. Namun, pemindahan beramai-ramai lelaki Islam yang sebahagian besar ditutup mata ke tapak hukuman mati bermula pada petang 13 Julai, terutama di utara Srebrenica.

Tapak pembunuhan meliputi padang bola sepak di Bratunac, padang rumput dan padang berhampiran Vlasenica dan Nova Kasaba, sebuah gudang di Kravica, sebuah kilang di Karakaj, sebuah sekolah di Orahovac, sebatang jalan tanah di Lembah Cerska dan sebuah pusat kebudayaan di Pilica.

Penduduk Islam Srebrenica dikawal anggota polis Serbia

Hukuman mati berterusan sekurang-kurangnya hingga 16 Julai, apabila ribuan orang dilaporkan ditembak di ladang kampung Branjevo.

Walaupun sebahagian besar pembunuhan dilakukan oleh tentera Serb Bosnia, satu unit polis dari Serbia juga dirakam dalam video membunuh enam penduduk Bosnia. Ramai mangsa pembunuhan beramai-ramai bukan sahaja diikat tangan dan kaki, malah banyak mayat menunjukkan mereka terlebih dahulu diseksa dengan kejam.

Tekanan antarabangsa memaksa kerajaan Republika Srpska (yang selepas konflik menjadi sebahagian Bosnia dan Herzegovina) memohon maaf pada tahun 2004 terhadap jenayah besar di Srebrenica dan mengakui bahawa bilangan mereka yang terkorban adalah kira-kira 7,800 orang.

Walaupun tidak semua pihak bersetuju dengan jumlah itu, secara umum diterima bahawa sekurang-kurangnya 7,000 orang terbunuh, manakala berapa anggaran lain meletakkan jumlah korban lebih 8,000 orang. – HARAKAHDAILY 13/7/22

- Advertisement -