Insiden Baling banjir: Suatu penelitian

- Advertisement -

PADA 4 Julai 2022, saudara-saudara kita di Kedah sekali lagi diuji dengan banjir yang berlaku. Kali ini, insiden banjir ini berlaku di daerah Baling yang merangkumi Kampung Iboi, Kampung Jerai, Kampung Pisang, Kampung Pak Bong, Kampung Bendang Pecah dan Pekan Kupang.

Kesemua tempat-tempat yang dituliskan sebentar tadi terjejas. Ini kerana, mereka berhampiran dengan sempadan Hutan Simpan Gunung Inas yang juga merupakan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Negeri Kedah.

Adakah punca pembalakan ini boleh berlaku? Kebiasaannya, apabila disebut perkataan banjir dan balak, keduanya bagai berpisah tiada. Apabila banjir berlaku, mesti pembalakan disalahkan. Kalau ada pembalakan, banjir mesti jadi implikasinya. Namun, adakah betul perkaitan tersebut pada banjir kali ini?

Sebenarnya, terdapat lagi beberapa faktor lain yang menyebabkan banjir. Antaranya ialah kadar taburan hujan, perancangan bandar dan pembangunan dan persediaan dalam menghadapi banjir bagi lokasi-lokasi biasa banjir. Itu asasnya. Maksudnya, pembalakan bukanlah faktor tunggal banjir berlaku. Asal banjir, mesti ada pembalakan. Sekiranya ini betul, maka di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur ada pembalakan sebab berlaku banjir beberapa masa lepas.

Kita meneliti fakta semasa Negeri Kedah khusus berkenaan dengan keadaan HSK Gunung Inas. Laporan Kelulusan Pembangunan Ladang Hutan dan Pengusahasilan Hutan (Hutan Simpan Gunung Inas) menyatakan tiada lagi pembalakan dan ladang hutan yang berlaku di kawasan tersebut. Kesemua bahagian di kawasan tersebut telah tamat secara keseluruhan sejak 2019 lagi. Yang berlangsung hanyalah kerja-kerja penyelenggaraan kolam takungan lumpur.

Kedua, ada cubaan ahli politik yang membawa naratif bahawa punca utama banjir ini adalah disebabkan oleh penanaman Durian Musang King di Gunung Inas. Sehinggakan beliau menjadi orang utama dalam membawa memorandum agar Menteri Besar Kedah menghentikan kegiatan Ladang Durian Musang King. 

Itu hanyalah pembawakan politik yang bertujuan untuk memburukkan Kerajaan Kedah sahaja. Kerana, bermula tahun 2013 lagi, anak syarikat Menteri Besar Kedah pada ketika itu telah mengusahakan Ladang Durian Musang King (LDMK) dengan kelulusan asal sebanyak 12,355 ekar tanah. Dan usaha tersebut digiatkan lagi sehingga bertambah keluasan tanah LDMK bertambah kepada 30,000 ekar pada tahun 2018. Perkara yang sama juga yang berlaku pada tahun 2019, apabila Kerajaan Kedah meningkatkan lagi pengeluaran Durian Musang King.

Sehinggalah pada tahun 2020, YAB Dato’ Seri Sanusi Md Nor mengarahkan projek LDMK dihentikan berikutan aduan penduduk setempat. Itupun, keluasan LDMK telah sudah meliputi 2,000 ekar tanah.

Sekiranya betul ini punca bagi banjir berlaku sekarang ini, alangkah kejamnya Kerajaan Kedah pada 2012 dan seterusnya yang menggembleng usaha mengerah hasil di Gunung Inas hingga mengorbankan orang sekeliling? Siapakah yang menjadi kerajaan pada masa itu?

Punca sebenar kepada kemalangan yang menimpa penduduk sekitar Gunung Inai ini sebenarnya hasil daripada kepala air yang terbentuk hasil taburan hujan yang turun dengan lebat dan berterusan. Beberapa kolam takungan air paip pecah kerana hilang upaya bagi menampung air yang terlalu banyak dan laju. Hasil kepada beberapa faktor ini, terbentuknya kepala air yang menjejaskan daerah Baling. Hinggakan, insiden pada kali ini persis insiden kepala air yang berlaku di Yan tahun lalu. 

Sungguh besar ujian yang dikenakan kepada sahabat-sahabat kita di Negeri Kedah. Semoga Allah S.W.T mengganti kesabaran ahli keluarga yang menghadapi ujian ini. Ameen.

PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 7/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -