Villarreal CF tubuh akademi bola sepak di Malaysia

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

Kelab terkemuka Sepanyol, Villarreal CF, melalui projek perluasan antarabangsa Akademi Villarreal akan membuka akademi baharu di negara ini yang dinamakan sebagai Akademi Villarreal Malaysia.

Akademi baharu ini menyasarkan golongan muda berumur antara tiga hingga 21 tahun dan sebagai permulaan pada tahun ini, akademi yang beroperasi di Kota Kemuning dan Bandar Rimbayu, Selangor, akan mampu menampung lebih 400 pemain dengan tenaga kejurulatihan seramai 20 orang.

- Advertisement -

Kedatangan Villarreal CF di Malaysia membolehkan kelab itu menawarkan peluang besar kepada pemain bola sepak dari Lembah Klang dan kawasan sekitar.

Akademi Villarreal Malaysia yang akan beroperasi secara rasmi Ogos ini, membuka pintu kepada semua bakat muda yang ingin menjadi sebahagian daripada akademi rakan kongsi rasmi Villarreal CF, yang merancang untuk beroperasi di seluruh negara.

Pemain bukan sahaja berpeluang berlatih mengikut kaedah latihan kelab bola sepak terkemuka Eropah, malah melawat Sepanyol untuk berlatih atau menyertai perlawanan persahabatan menentang pasukan Akademi Villarreal CF.

Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Villarreal Malaysia, Massimo Giannelli, mempunyai misi yang jelas untuk akademi dan teruja untuk bekerjasama dengan Villarreal CF.

“Kami menyasarkan untuk menjadikan Akademi Villarreal Malaysia sebagai program pembangunan bola sepak terbaik di Malaysia.

“Misi kami adalah untuk menjadi inklusif semampu yang boleh dan menawarkan program ini kepada semua orang serta menanamkan dalam diri mereka, kecintaan terhadap permainan bola sepak,” katanya dalam laman sesawang Villarreal CF.

Giannelli berkata, akademi itu ingin bekerjasama dengan kelab yang mempunyai strategi yang jelas dan jelas untuk pembangunan belia.

“Sebelum ini, saya telah mengadakan perbincangan dengan beberapa kelab Eropah, tetapi sebaik sahaja bercakap dengan Villarreal CF, kami menyedari telah menemui rakan kongsi yang sesuai untuk peringkat pembangunan seterusnya,” katanya.

Villareal menewaskan Manchester United untuk menjuarai Liga Europa pada 2021

Sementara itu, Pengarah Urusan Akademi Villarreal Malaysia, Jonathan Abishegam, berkata akademi itu akan menyediakan peluang besar untuk pemain bola sepak muda di seluruh Malaysia dengan membawa kejayaan Villarreal di Sepanyol dan Eropah ke Malaysia.

“Kami percaya bahawa metodologi yang akan kami guna dan pengetahuan yang akan kami pelajari daripada Villarreal CF digabungkan dengan kemudahan kami yang menakjubkan serta pasukan kejurulatihan berpengalaman akan mewujudkan peluang untuk pemain merasai standard tertinggi yang akan menjadikan mereka berbeza,” katanya.

Beliau berkata, program ini mahu memberi peluang yang sama rata kepada kanak-kanak lelaki dan perempuan dari semua latar belakang seberapa banyak yang boleh.

“Sama ada untuk pemain yang mencari program rekreasi menyeronokkan dengan bermain bersama rakan-rakan atau bakat muda yang bercita-cita bermain di Eropah, peluang ini akan disediakan di Akademi Villarreal Malaysia,” katanya.

Villarreal CF turut mempunyai akademi serupa di seluruh dunia seperti Aerika Syarikat, Kanada, Mexico, Bolivia, Australia dan Korea Selatan. – HARAKAHDAILY 7/7/22

- Advertisement -