Iktibar agung surah al-Isra’ (5)

- Advertisement -

ALLAH S.W.T menyebut bahawa setiap umat diutuskan seorang Rasul untuk menerangkan perkara yang baik dan buruk kepada mereka. Setelah mereka menentang Nabi dan Rasul serta menolak ajaran yang dibawa, barulah Allah S.W.T. akan menurunkan bala dan bencana:

- Advertisement -

وَإِذَآ أَرَدْنَآ أَن نُّهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُوا۟ فِيهَا فَحَقَّ عَلَيْهَا ٱلْقَوْلُ فَدَمَّرْنَٰهَا تَدْمِيرًا

“Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.”

(al-Israk: 16)

Sebelum Allah S.W.T. menjatuhkan hukuman atau menurunkan sesuatu bencana ke atas suatu negeri, tempat, kampung atau kumpulan, Dia menghantar Nabi dan Rasul terlebih dahulu sebagai peringatan supaya kita berbuat kebaikan. Pada zaman kini, adanya orang alim yang berperanan dalam menyambung tugas para Nabi dan Rasul iaitu menyuruh manusia untuk berbuat kebaikan (amar ma’ruf) dan melarang manusia daripada melakukan kejahatan (nahi mungkar). 

Orang yang berpangkat tinggi, berkedudukan dan kaya disebut sebagai golongan al-Mala’ dalam al-Quran. Golongan tersebut sentiasa menentang risalah malah mengkhianati para Nabi dan Rasul. Apabila ia berlaku, Allah S.W.T menghancurkan kelompok tersebut dengan sehancur-hancurnya. Begitu juga dengan bencana yang menimpa kaum-kaum terdahulu seperti kaum Luth, ‘Ad, Thamud, pengikut Nabi Nuh A.S, Fir’aun dan pengikutnya serta pengikut Namrud. 

Apabila Allah S.W.T. menghantar Nabi dan Rasul yang membawa peringatan supaya manusia tidak berbuat perkara yang buruk tetapi kita masih tidak mahu mendengarnya atau melanggarnya, maka tunggulah saat kehancuran. Kita mendapati bahawa bangsa-bangsa yang menolak kebenaran agama sama ada mereka beragama Islam atau bukan akan dihancurkan oleh Allah S.W.T. Contoh, kerajaan Rom, Greek Purba, China dan India telah mengalami kehancuran kerana mereka tetap menolak agama walaupun pada ketika itu tiada Nabi mahupun Rasul. Mereka melakukan zina, minum arak, homoseksual dan sebagainya. 

Bandar Pompeii di Rom merupakan bandar yang hebat pada suatu masa dahulu. Namun, masyarakatnya hidup dengan amalan-amalan yang tidak baik. Akhirnya, letusan gunung berapi berlaku di sana sehingga menyebabkan bandar tersebut hancur. Kisahnya diketahui hasil daripada kajian melalui ilmu arkeologi yang telah menjumpai mayat-mayat yang tertimbus oleh larva gunung berapi. Hasil penemuan tersebut akhirnya membolehkan suatu filem diterbitkan. 

Kerajaan Turki Uthmaniyah pula walaupun ia merupakan empayar Islam yang hebat namun akhirnya jatuh pada tahun 1924. Antara punca kejatuhannya adalah akibat kemewahan hidup dan tidak mengamalkan agama. Rajanya mempunyai gundik seramai 99 orang. Begitu juga yang berlaku terhadap kerajaan sebelumnya iaitu Kerajaan Umaiyah dan Abbasiyah yang jatuh kerana hidup tidak mengikuti ajaran agama. Oleh itu, kita perlu berasa bimbang sekiranya masyarakat hidup sedemikian kerana dikhuatiri bala akan turun. Dakwah atau ‘amar ma’ruf nahi mungkar’ adalah sangat penting dan kita seharusnya tidak membiarkan keburukan-keburukan terus berlaku.

Contoh, bala yang menimpa Bosnia adalah disebabkan oleh kehidupan masyarakatnya yang tidak berlandaskan agama. Mereka membunuh seorang ibu mengandung dengan dibelah perutnya dan bayi dalam kandungannya diambil dan dimasukkan babi ke dalam perutnya. Mereka tidak solat, puasa, minum arak dan hidup seperti orang bukan-Islam. Ada satu perayaan yang disambut oleh mereka dengan cara orang kafir dan menu utama yang dihidangkan ialah kepala babi. Masjid pula tidak diimarahkan. Akhirnya, Bosnia mengalami kejatuhan akibat diserang oleh Serbia.

Begitu juga yang berlaku di Serbia. Ibu mengandung dibunuh, orang perempuan dirogol dan orang lelaki dibunuh. Hal tersebut menyebabkan PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) terpaksa campur tangan dan akhirnya selamat. Justeru, kita di Malaysia juga perlu kembali kepada agama Islam dan mengamalkan Islam setakat yang mampu dalam kehidupan, begitu juga dalam rumahtangga, masyarakat bahkan negara. Peristiwa 13 Mei yang lalu barangkali merupakan salah satu cara Allah S.W.T ingin menghukum kita disebabkan oleh kehidupan kita yang tidak mengambil peduli akan agama.

Kita hendaklah sama-sama memelihara agama. Kuasa politik perlu dimanfaatkan untuk kepentingan agama. Tujuan politik dalam agama adalah untuk menegakkan agama dan mengurus dunia dengan agama. Namun, sesetengah daripada kita menggunakan kuasa politik pada hari ini bukan untuk kepentingan agama. Rosaklah amanah yang Allah S.W.T telah kurniakan kepada kita. Jadi, sama-samalah kita memperbaiki kesilapan kita dan memulihkannya semula Insya-Allah

Pada zaman kini, Nabi dan Rasul sudah tiada dan yang ada hanya ulamak. Jika masih ada yang mengakui bahawa dia ialah Nabi atau Rasul, maka itu semua adalah mengarut. Ulamak mesti memainkan peranan dalam mengajak orang kepada jalan yang betul dan menjadi sumber masyarakat. Kita haruslah menghormati ulamak. Walaupun ulamak tidak ma’sum, tetapi ilmu yang dia miliki perlu kita hormati kecuali dia ada melakukan perkara-perkara yang berlanggar dengan syarak.

Masalah kita pada hari ini ialah kita sendiri yang berasa lebih cerdik daripada orang alim. Menulis atau memberikan komen di Facebook seolah-olah kita lebih alim daripada ulamak. Inilah perangai yang kurang beradab. Manusia pada akhir zaman sudah hilang adab dengan Allah, Nabi, ulamak, ibu bapa dan juga masyarakat. Hal ini kerana kita sudah tidak mengikuti ajaran agama. Ibu dan bapa kita walaupun tidak sempurna atau kurang cerdik, tetap harus kita hormati. Disebabkan merekalah, kita lahir ke dunia. Ibu dan bapa menjadi sebab adanya anak. Faktor itu sudah pun mencukupi untuk kita menghormati ibu dan bapa kita. 

وَكَمْ أَهْلَكْنَا مِنَ ٱلْقُرُونِ مِنۢ بَعْدِ نُوحٍ وَكَفَىٰ بِرَبِّكَ بِذُنُوبِ عِبَادِهِۦ خَبِيرًۢا بَصِيرًا

“Dan berapa banyak umat-umat yang kami telah binasakan sesudah zaman Nabi Nuh; dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui lagi melihat akan dosa-dosa hambaNya.”

(al-Israk: 17)

Apabila orang-orang kaya yang disuruh untuk berbuat kebaikan tetapi mereka melanggarnya, Allah S.W.T akan menghancurkan mereka. Contoh, bangunan tinggi yang dibina daripada bukit di Petra, Jordan menunjukkan bahawa manusia pada zaman dahulu adalah manusia yang berbadan besar. Walaupun pada ketika itu tiada alatan canggih, mereka dapat membinanya. Namun, bangunan tersebut akhirnya musnah. Peninggalannya menjadi suatu tanda agar kita berfikir.

Fir’aun yang menentang Nabi Musa A.S masih dijumpai jasadnya walaupun sudah lama meninggal dunia. Allah S.W.T memang ingin menyelamatkan jasadnya supaya ia menjadi tanda bagi orang yang terkemudian. ‘Postmortem’ telah dijalankan terhadap mayat Fir’aun dan mendapati bahawa dia telah mati akibat lemas. Inilah rupa orang yang menentang Nabi dan Rasul agar kita mengambil iktibar dan melihat kebesaranNya. 

Kaum ‘Ad dan Thamud adalah umat yang dekat dengan zaman Nabi Muhammad S.A.W yang tinggal di Semenanjung Tanah Arab. Empat Nabi daripada baka Arab ialah Nabi Hud, Nabi Saleh, Nabi Ismail dan Nabi Muhammad S.A.W. Nabi-nabi lain hidup di luar Tanah Arab iaitu bukan berasal dari Makkah. Keturunan mereka adalah bukan darah Arab tulen tetapi Arab campuran:

مَّن كَانَ يُرِيدُ ٱلْعَاجِلَةَ عَجَّلْنَا لَهُۥ فِيهَا مَا نَشَآءُ لِمَن نُّرِيدُ ثُمَّ جَعَلْنَا لَهُۥ جَهَنَّمَ يَصْلَىٰهَا مَذْمُومًا مَّدْحُورًا

“Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah.”

(al-Israk: 18)

Jika kita mencari kesenangan dunia sehingga melampaui batas hukum Allah S.W.T, Dia boleh memberikannya. Kita dapat hidup dengan senang-lenang walaupun berperangai jahat dan tidak mengerjakan solat. Cuba kita melihat kehidupan orang bukan-Islam. Mereka hidup lebih mewah daripada kita. Allah S.W.T boleh memberikan kesenangan seperti mereka itu kepada kita di dunia tetapi akan disediakan juga azab api neraka Jahannam (neraka yang paling bawah) di akhirat nanti. 

Jadi, sanggupkah kita mendapatkan kehidupan senang dengan melanggar agama seterusnya memperoleh azab di akhirat? Sebab ada antara kita yang menyebut betapa susahnya berniaga dengan kaedah Islam sebab nanti lambat kaya serta susah untuk menipu dan juga menjual barang yang tidak elok. Sehingga ada yang menjual dadah kerana boleh cepat kaya dan beli kereta besar misalnya. Kita akan memperoleh apa yang kita kehendaki di dunia tetapi beringatlah bahawa kita juga akan dikenakan azab di akhirat nanti dan menjadi orang yang terhina:

وَمَنْ أَرَادَ ٱلْأخِرَةَ وَسَعَىٰ لَهَا سَعْيَهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُو۟لَٰٓئِكَ كَانَ سَعْيُهُم مَّشْكُورًا

“Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.”

(al-Israk: 19)

Orang yang mencari akhirat atau redha Allah S.W.T ialah orang beriman yang rajin bekerja bukan setakat beribadah di masjid sahaja, bersedekah, mengeluarkan zakat, membantu orang lain yang berada dalam kesusahan, menolong orang bawahan, membela orang yang dizalimi dan menyampaikan ilmu kepada masyarakat. Mereka akan memperoleh pahala serta selamat di dunia dan juga di akhirat. Oleh itu, buatlah sesuatu yang mengikut kehendak-Nya. 

Begitu dengan ibadah, ia mestilah dilakukan dengan mengikut syariat dan tidak memandai-mandai. Ada satu kisah mengenai seorang ulamak besar di Makkah dan Madinah iaitu Fudhail bin Iyadh yang digelar sebagai Abidul Haramain (ahli ibadah dua tanah suci). Pernah diajukan soalan kepadanya mengenai syarat-syarat yang diperlukan supaya amalan kita diterima dan boleh memasuki syurga. Lalu, beliau memberitahu ada dua syarat iaitu syarat yang pertama ialah amalan yang dibuat hendaklah yang paling ikhlas dan yang kedua ialah yang paling betul [1]. 

Amalan yang paling ikhlas ialah amalan yang dilakukan semata-mata kerana Allah S.W.T. Bukan kerana manusia supaya diundi, disokong atau dipuji. Buat untuk mencari redha-Nya. Menurut ulamak, jika kita ingin menguji sama ada kita ikhlas atau bukan, cuba bandingkan apa perasaan kita antara mengerjakan solat di masjid terutama solat sunat dengan mengerjakannya di rumah. Sekiranya perasaan bagi kedua-dua keadaan itu adalah sama, maka itu adalah tanda kita ikhlas. Begitu juga di saat kita bersedekah. Ketika di hadapan orang, kita bersedekah dengan jumlah wang yang besar. Jika tiada orang, kita bersedekah dengan jumlah wang yang sedikit. 

Amalan yang paling betul pula dikatakan sebagai amalan yang menepati sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Bukan yang kita membuat rekaan sendiri. Kadang-kadang, kita suka mereka-reka sesuatu dengan tujuan kononnya untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Rekaan yang dibuat yang tiada sandaran dalam nas disebut sebagai bid’ah dholalah (bid’ah yang sesat). Ia boleh merosakkan amalan kita dan menyebabkan amalan kita tidak diterimaNya. Sebolehnya kita tidak melakukan sesuatu amalan melebihi apa-apa yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W kerana Baginda S.A.W sudah melakukan yang terbaik. 

Ada juga antara kita yang suka berdoa dengan doa yang sangat panjang sedangkan Baginda S.A.W berdoa dengan doa-doa yang sangat ringkas. Dari mana datangnya khusyuk sehinggakan tangan yang ditadah dan siku sudah bertongkat lutut? Itu bukan khusyuk tetapi lenguh. Jika kita mengerjakan solat secara bersendirian tidak mengapa. Dibolehkan jika kita ingin berdoa dalam tempoh yang lama sekali pun. 

Selain itu, ada imam yang membaca Surah Al-Baqarah sehingga selesai satu surah itu pada rakaat pertama solat. Bayangkanlah, surah tersebut mempunyai 286 ayat dan dibaca pula dengan kadar kelajuan yang perlahan. Sehinggakan ada Sahabat yang tidak mahu mengerjakan solat berjemaah dengan imam itu. Nabi Muhammad S.A.W menanyakan sebab atas tindakannya [2]. Lalu, Sahabat memberitahu bahawa imam itu membaca surah yang terlalu panjang dan dia pula tergesa-gesa kerana mempunyai banyak kerja yang harus dilaksanakan serta wuduknya tidak bertahan lama. 

Rasulullah S.A.W menegur imam itu dan memberitahunya jika dia mengimamkan solat yang mana jemaahnya ramai, bacalah secara sederhana. Barangkali dalam kalangan jemaah ada yang mempunyai banyak urusan. Jika bacaan panjang, kita akan menyusahkan jemaah dan mereka akan lari. Walaupun membaca Surah Al-Baqarah itu adalah perbuatan yang baik namun ia akan mencetuskan fitnah kerana tidak sesuai pada tempatnya. 

Terdapat satu kitab yang dianjurkan untuk kita baca iaitu al-I’tishom oleh Imam As-Syathibi yang menghuraikan mengenai bid’ah. Bid’ah ialah sesuatu perkara yang berkait dengan ibadah yang direka-reka dalam agama dan tiada asas dalam nas. Hanya urusan ibadah yang mempunyai kaitan dengan bid’ah, adapun urusan muamalat kebiasaannya ulamak tidak memasukkan sekali di dalam kitab seperti pada zaman kita hari ini, kita menaiki kereta dan motosikal, memakai kasut atau menggunakan karpet di dalam masjid. Masjid Nabawi pada asalnya hanya berlantaikan pasir, tiada dinding dan berbumbungkan pelepah tamar. 

Pada zaman Nabi Muhammad S.A.W ketika cuaca yang panas terik, Baginda S.A.W melewatkan solat Zohor [3]. Sebabnya adalah kerana bumbung masjid diperbuat daripada pelepah tamar. Apabila bayang-bayang suatu tiang yang dipacak secara menegak tidak kelihatan, maka belum lagi masuk waktu Zohor. Apabila bayang-bayang kelihatan sedikit, maka sudah pun masuk waktu Zohor. Jangan pula selepas ini kita menggantikan bumbung masjid yang sedia ada dengan pelepah tamar. Ada antara kita yang terlalu ekstrem dan longgar dengan agama. Oleh itu, kita kena berwaspada dengan golongan-golongan tersebut dan mengambil kaedah yang pertengahan atau sederhana. 

Saidina Ali R.A mengistilahkan al-Quran kepada dua. Yang pertama ialah naskhah al-Quran yang kita baca dan yang kedua ialah Nabi Muhammad S.A.W. Oleh sebab itu, Sayyidatina ‘Aisyah R.A mengibaratkan perangai Rasulullah S.A.W seperti al-Quran [4]. Apa yang Baginda S.A.W lakukan atau percakapannya merupakan terjemahan amali kepada al-Quran. 

Bagi memahami al-Quran dengan betul, kita perlu merujuk kepada sunnah Rasulullah S.A.W yang sahih dan jelas. Bukan hadis maudhu’ (hadis palsu) kerana ia tidak diterima pakai. Paling kurang pun hadis dhaif (hadis lemah) kerana Imam Ahmad bin Hanbal memberitahu bahawa hadis dhaif adalah lebih baik daripada akal pemikiran manusia [5]. 

Ada yang menyuruh supaya kita berpegang dengan al-Quran sahaja. Ia adalah tidak tepat kerana hadis juga penting. Al-Quran dan Hadis memang tidak dapat dipisahkan. Al-Quran ialah wahyu daripada Allah S.W.T manakala Hadis merupakan praktikal yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. Apabila berpegang dengan kedua-duanya, kita akan selamat. Oleh sebab itu, pandangan ulamak juga perlu merujuk al-Quran dan Hadis. Jika ia menyeleweng, maka tidak boleh digunapakai:

كلًّا نُّمِدُّ هَٰٓؤُلَآءِ وَهَٰٓؤُلَآءِ مِنْ عَطَآءِ رَبِّكَ وَمَا كَانَ عَطَآءُ رَبِّكَ مَحْظُورًا

“Tiap-tiap golongan dari keduanya, golongan dunia dan golongan akhirat Kami hulurkan kepada mereka dari pemberian Tuhanmu (wahai Muhammad); dan tiadalah pemberian Tuhanmu itu tersekat (dari sesiapapun).”

(al-Israk: 20)

Cuba kita perhatikan orang bukan-Islam yang dapat hidup dengan mewah. Ini kerana Allah S.W.Tjuga boleh memberikan segalanya kepada mereka. Jika Allah S.W.T tidak melakukan sedemikian misalnya menghalang rezeki mereka, tiada seorang pun antara mereka dapat hidup, makan dan berharta di dunia. Inilah sifat Allah S.W.T. yang tidak dapat dihalang oleh sesiapa pun. 

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 5 Julai 2022 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 7/7/2022

Rujukan:

[1] Rujuk Tafsir al-Baghawi (5/124).
[2] Kisah ini melibatkan Sahabat Nabi bernama Muaz Bin Jabal yang diriwayatkan kisahnya oleh Imam Muslim (no. Hadis 465).
[3] Diriwayatkan oleh Imam Bukhari (no. Hadis 536) dan juga Imam Muslim (no. Hadis 615).
[4] Diriwayatkan oleh Imam Muslim (no. Hadis 746).
[5] Rujuk A’lam al-Muwaqqi’in ‘an Rabbi al-‘Alamiin oleh Ibnu al-Qayyim al-Jauziyyah (1/61).

- Advertisement -