Hanya yang benci perpaduan Melayu anggap Mat Kilau filem fasis

Pandangan peribadi individu dikenali sebagai Terence Aaron melalui Facebook miliknya tentang filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan telah menerima kritikan negatif daripada netizen.
- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Jika sebelum ini filem pecah panggung, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (Mat Kilau) dikritik sebagai filem yang tidak menepati aspek sejarah, kini muncul pula kritikan yang lagi ‘pedas’ melabelkan naskhah arahan Syamsul Yusof itu sebagai ‘fasis’.

Ia adalah susulan seorang individu dikenali sebagai Terence Aaron melalui Facebook miliknya, mendakwa filem itu tanpa sebarang justifikasi, telah ‘melukis’ setiap watak bukan Melayu sebagai karikatur (atau watak) jahat.

- Advertisement -

“Kesemua watak lelaki bukan Melayu-Islam (dalam Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan) telah dibunuh dengan kejam dan tidak diberi sebarang ciri ciri perikemanusiaan. Sementara, semua watak Melayu-Islam telah ditampilkan sebagai mangsa penindasan.

“Tetapi keganasan yang digambarkan dalam filem (Mat Kilau) menunjukkan orang bukan Melayu Islam Malaysia (Tanah Melayu) sebagai orang suruhan penjajah dan seolah-olah penjajah,” tulisnya dalam Facebook yang meraih banyak kritikan negatif daripada netizen menyebabkan ruangan komennya ditutup.

Watak-watak bukan Melayu-Islam yang ditampilkan dalam filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

Merujuk kepada educalingo.com, maksud fasis atau fasisme adalah merujuk kepada ideologi politik yang meletakkan kepentingan negara lebih penting daripada kepentingan individu atau masyarakat. 

Fasisme mementingkan perpaduan antara masyarakat bangsa yang sama. Ideologi ini meliputi unsur-unsur nasionalisme, ketenteraan, korporatisme, totalitarianisme, antikomunisme dan antiliberalisme.

Justeru, benarkah ideologi filem yang mengumpul kutipan sebanyak RM53 juta selepas 13 hari ditayangkan di rangkaian pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei itu bersifat fasisme?

‘Apabila Melayu berpecah mereka akan dijajah’

Dr Halimah menegaskan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan adalah sebuah filem tentang tanah hak milik Melayu.

Mengulas tentang isu berkenaan, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Halimah Ali berkata, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan adalah sebuah filem mengenai penceritaan semula sejarah sebenar pahlawan Melayu menentang penjajah British.

“Sememangnya tidak adil bagi pihak yang tidak senang hati dengan naratif, ‘apabila Melayu berpecah mereka akan dijajah’ untuk menghukum filem itu sebagai fasis,” tegas beliau.

Menurutnya, filem itu memaparkan kisah ketika pihak British ingin mengeksploitasi kekayaan hasil bumi milik orang Melayu di Pahang serta campur tangan dalam menguruskan adat istiadat dan agama masyarakat tempatan.

Barisan watak pejuang Melayu-Islam yang menjadi tunjang jiwa dan perantaran mesej yang cuba disampaikan menerusi filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

“Segala kekejaman yang dilakukan penjajah pada waktu itu adalah dengan bantuan talibarut British.

“Untuk menilai sesuatu perkara, seseorang itu perlulah dengan fikiran terbuka dan berlapang dada. Sesuatu yang hendak diperkatakan itu juga berdasarkan kepada fakta dan bukannya dongeng semata-mata,” katanya yang turut berpesan agar semua pihak perlu belajar untuk menerima kebenaran dalam sejarah tanah air. 

“Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan adalah kisah tanah (hak milik) Melayu!” tegasnya.

Institusi Raja-Raja Melayu

Sementara, Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi pula berkata,  golongan yang melabelkan filem Mat Kilau sebagai filem fasis adalah sesuatu yang keterlaluan.

Dato’ Dr Ahmad Yunus

Beliau menegaskan bahawa  perjuangan para ulama, agamawan dan nasionalis dalam memerdekakan negara tanah melayu dari penjajahan orang asing tidak akan terpadam dalam lipatan sejarah. 

Tambahnya, pengorbanan demi pengorbanan hingga menggadai nyawa telah dilalui oleh mereka. Begitu juga peranan institusi Raja-Raja Melayu.

“Walaupun mungkin jalan cerita filem Mat Kilau tidak mungkin seratus peratus tepat (dari segi sejarah), tetapi sudah pasti menjadi ia mampu menjadi pengajaran kepada orang-orang Melayu di tanah air tercinta ini.

“Orang Melayu dan Islam di negara kita tidak boleh dipisahkan. Mengorak kepada membina satu gagasan perpaduan ummah orang Melayu yang beragama Islam memerlukan suatu jiwa besar dan pengorbanan,” tegasnya.

Menurutnya, semangat tersebut adalah yang dituntut dalam Islam menerusi surah Ali Imran: ayat 103, “Dan berpegang teguhlah kamu pada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai- berai…”; dan itulah antara gambaran yang telah dijadikan jalan cerita filem berkenaan. 

Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan berjaya menyampaikan ceritera mengenai pertentangan antara orang Melayu-Islam menentang puak bangsa asing yang datang menjajah dan merampas hak milik tanah Melayu.

“Apatah lagi melihat kepada perpecahan orang Melayu sekarang ini disebabkan bawaan agenda politik yang berkepentingan diri sendiri,” ujarnya.

Justeru, beliau bersetuju dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang  baru-baru ini menitahkan agar pemimpin politik Melayu bersatu.

“Keprihatinan Tuanku ini memang ada asasnya, melihat kepada perpecahan orang Melayu disebabkan ideologi politik yang semakin parah.

“Mana mungkin pengajaran kepada penyatuan ummah perlu dilihat kepada sesuatu yang bersifat fasis. Hanya mereka yang sakit jiwanya dan benci melihat perpaduan Melayu boleh beranggapan begitu,” katanya.

Amanat Mat Kilau bahawa ‘jangan sampaikan bangsaku tiada negara’ antara mesej yang berjaya disampaikan dengan penuh impak melalui paparan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

Oleh yang demikian, PAS telah meletakkan agenda perpaduan ummah merentasi politik kepartian atas dasar Islam yang dituntut dalam al-Quran. 

Bahkan Islam juga mengajar mengurus kepelbagaian kaum dalam urusan bermasyarakat dan negara seperti Firman Allah SWT dalam surah Al-hujrat: ayat 13, Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti.”

“Rakyat (berbilang bangsa) di Tanah Melayu yang kini dikenali dengan nama Malaysia harus menolak individu yang berfikiran seperti Terence Aaron!” tegas beliau.

Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan bukan sahaja ‘panas’ dari segi kutipan tiket, tetapi agak ‘menggelegak’ dengan siri kontroversi terutama yang muncul daripada pengkritik ‘berhaluan kiri’ yang tegar mencari, mengesan dan menampilkan sisi negatif naskhah terbaharu arahan Syamsul Yusof ini.

Aqidah pejuang Islam

Pengarah Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor, Shehdi Hazrik Shamsudin pula berpendapat Mat Kilau bukan filem fasis semata-mata. 

“Saya memahami kegusaran dan kebimbangan individu yang menuduh filem Mat Kilau sebagai fasis. 

“Sebagaimana kegusaran kaum lain terhadap cerita-cerita yang bersifat nasionalis seperti IP Man yang diterbitkan bagi membina semangat nasionalis rakyat China, Beijing sehingga memperlihatkan bangsa Jepun, Inggeris dan lain-lain sebagai watak jahat,” jelasnya.

Shehdi Hazrik

Menurut beliau, penggunaan perkataan fasis terhadap seseorang dianggap menghina.

Namun begitu, ujar Shehdi,  terdapat juga maksud-maksud yang berjiwa patriotik yang telah memperjuangkan ideologi nasionalisme dalam filem berkenaan.

“Mereka yang melabelkan filem Mat Kilau adalah filem fasis iaitu meletakkan kepentingan negara lebih penting daripada kepentingan individu atau masyarakat melalui serangan terhadap musuh.

“Namun, filem ini bukanlah fasis semata-mata kerana ia menunjukkan kepada perjuangan bangsa.

“Di sebalik paparan filem Mat Kilau ada mesej lain yang cuba disampaikan oleh penerbit dan pengarah yang sudah semestinya menepati selera sasarannya kepada orang Islam dan bangsa Melayu. Penyampaian jalan cerita yang mudah dan diterima oleh anak muda dengan baik,” ujarnya.

Perpecahan orang Melayu sekarang ini disebabkan bawaan agenda politik atas dasar kepentingan diri sendiri adalah antara elemen mesej yang cukup efektif disampaikan melalui filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

Tambahnya, jika dibandingkan dengan filem Sarjan Hassan (1958) dan Leftenan Adnan (2000) yang diterapkan dengan semangat patriotisme dan mendokumentasi bagaimana perit jerih perjuangan mereka dalam menuntut kemerdekaan dan membawa hasrat anak watan untuk mewarisi negara berdaulat, filem Mat Kilau pula mengandungi elemen Islam yang cuba disampaikan mengenai perjuangan pahlawan terdahulu yang asasnya tidak lari dari aqidah perjuangan Islam.

“Walaupun plot cerita mungkin banyak berbeza dari kisah sebenar, namun kisah sahabat-sahabat dan watak lain selain Mat Kilau yang cuba disampaikan membawa penonton kepada pelbagai emosi melalui kisah-kisah sampingan seperti khianat, penganiayaan, kesetiaan, kepatuhan, dan pelbagai lagi saling tidak tumpah sebagaimana yang dihadapi oleh pejuang-pejuang agama terdahulu.

“Mungkin mereka yang menuduh filem Mat Kilau sebagai fasis ini belum memahami nilai jati diri bangsa Melayu yang tinggi budi pekertinya dan mulia akhlaknya kerana tersemat aqidah Islam yang kuat dalam setiap amalan mereka,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 7/7/2022

- Advertisement -