Haji: Pemimpin Melayu-Islam perlu ambil serius soal perpaduan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Haji melambangkan perpaduan dan penyatuan dalam kalangan umat Islam, kata Yang Dipertua Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM), Dato’ Al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir.

Menurut beliau, hanya dengan kesatuan sahajalah yang akan menjamin kekuatan agama, bangsa dan tanah air.

Katanya, perpecahan adalah sesuatu yang merugikan serta dengan sendirinya akan melemahkan umat sebagaimana pepatah menyatakan ‘bersatu teguh, bercerai roboh’.

- Advertisement -

Justeru, ujarnya adalah wajar bagi umat Islam di Malaysia yang mendominasi parti politik Melayu untuk mengambil iktibar itu demi menjulang kesatuan ummah.

Oleh yang demikian, kata beliau PUM ingin menyeru semua terutama pimpinan parti politik yang berteraskan Melayu-Islam untuk memberikan perhatian dan mengambil serius soal perpaduan.

Beliau berkata, semua pimpinan perlulah berjiwa besar memikirkan masa depan umat, bukan berfikiran sempit untuk kepentingan sendiri.

Dato’ Al-Syeikh Abdul Halim

 “Ingatlah, jika pimpinan politik ini berpecah dan berseteru, ia pasti akan melemahkan kekuatan bangsa dan memberi kesan kepada agama.

“Kita tidak mahu menjadi golongan yang lemah dalam keadaan kita sebenarnya mampu untuk membentuk kekuatan. Kuncinya adalah perpaduan dan penyatuan itu sendiri,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, seruan perpaduan telah sekian lama terdapat dalam al-Quran melalui firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud: “berpegang teguhlah kamu pada tali Allah (agama Allah) dan janganlah kamu berpecah-belah…”

“Marilah kita pastikan agenda kesatuan ummah ini terus diangkat menjadi tunjang dalam suasana di Malaysia walaupun akhir-akhir ini menunjukkan terdapat kelompok yang cuba menolaknya.

“Tetapi kami percaya masih ada jalan terutama kepada para pemimpin politik untuk kembali mempertaut kesatuan umat Islam demi mengangkat maruah agama bangsa dan negara,” ujarnya lagi.

Tambahnya, tidak lama lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidil Adha yang juga dikenali dengan Hari Raya Haji.

Menurutnya, haji merupakan himpunan tahunan terbesar umat Islam dari seluruh pelosok dunia.

Beliau berkata, tanpa mengira bangsa, warna, pangkat mahupun harta, semua bakal haji mengenakan pakaian putih, seia sekata membesarkan Ilahi dengan ungkapan labbaikallahumma labbaik.

PUM juga, ujarnya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada semua bakal haji yang terpilih untuk menunaikan haji pada tahun ini.

“Ia adalah satu kemuliaan untuk melaksanakan ibadah yang terkandung dalam rukun Islam kelima tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/7/2022

- Advertisement -