Tandak air dibina penduduk tiada permit Jabatan Perhutanan

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

BALING:
Kerajaan negeri mengarah Jabatan Perhutanan Kedah meninjau lokasi tandak air kegunaan penduduk yang dibina di Gunung Inas untuk memastikan kesesuaiannya.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tandak air yang dibina penduduk kampung sebelum ini bersifat tanpa mendapat permit daripada Jabatan Perhutanan.

“Pembinaan tandak-tandak air kegunaan masyarakat sebenarnya sudah dibangkitkan Jabatan Perhutanan sebelum ini.

- Advertisement -

“Apa juga binaan perlu mendapat permit Jabatan Hutan agar penggunaannya sah. Bila bina tanpa permit, Jabatan Hutan pun tak tahu,” kata beliau di Pejabat Daerah Baling semalam.

Menurut beliau sewajarnya pihak yang membina tandak terbabit membuat permohonan agar ia direkodkan untuk mengelak berlaku pertindihan apabila kawasan berkenaan diluluskan untuk projek tertentu.

Walau bagaimanapun, pihaknya akur tandak air yang dibina di Gunung Inas itu atas kesungguhan penduduk kampung untuk mendapat bekalan air walaupun terpaksa menggalas simen dan lain-lain naik ke bukit.

“Yang dah pecah sudah tidak menjadi risiko tetapi yang belum pecah akan mendatangkan risiko. Tetapi dengan lambakan pasir dibawa air arus deras rasanya semua tandak telah tertimbus,” ujarnya.

Sebelum ini Sanusi memaklumkan tandak yang membekalkan air ke Kampung Carok Kapas dan Kampung Carok Mas didapati pecah akibat limpahan air terlalu banyak.

“Dahulu penduduk kampung buat tandak dengan guni pasir atau batu tetapi sekarang dibina menggunakan konkrit.

“Sepanjang aliran sungai di Gunung Inas memang banyak tandak cuma tidak terakam ketika tinjauan udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sehari selepas kejadian sebab mereka lebih fokus kesan tanah runtuh,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/7/2022

- Advertisement -