Banjir semakin buruk, ribuan penduduk Sydney berpindah

Kakitangan perkhidmatan kecemasan menjalankan tugas memindahkan penduduk yang terperangkap - Reuters
- Advertisement -

SYDNEY: Hujan lebat terus melanda pantai timur Australia, meningkatkan krisis banjir di Sydney apabila beribu-ribu penduduk diarah meninggalkan rumah mereka selepas air sungai meningkat dengan pantas melepasi paras bahaya.

Menteri Pengurusan Kecemasan, Steph Cooke, berkata kira-kira 50,000 penduduk di New South Wales, sebahagian besar di pinggir bandar barat Sydney, diberitahu untuk sama ada berpindah atau diberi amaran bahawa mereka mungkin menerima perintah pemindahan, meningkat berbanding 30,000 orang semalam.

- Advertisement -

Reuters melaporkan bahawa sistem tekanan rendah yang kuat di luar pantai timur Australia membawa hujan lebat dengan beberapa tempat menerima hujan dengan jumlah air menyamai untuk tempoh sebulan sejak Sabtu lalu.

Ribut mungkin berkurangan di Sydney pada hari ini, Cooke memberitahu televisyen tempatan, tetapi risiko banjir tetap kekal sepanjang minggu ini kerana kebanyakan kawasan tadahan sungai sudah mencecah kapasiti penuh walaupun sebelum ribut terbaru melanda.

“Kami belum keluar dari bahaya lagi,” kata Cooke.

Kerajaan Persekutuan semalam, mengisytiharkan banjir sebagai bencana alam, membantu penduduk yang dilanda banjir menerima sokongan pembiayaan kecemasan.

Kakitangan perkhidmatan kecemasan meneruskan operasi menyelamat pada hari ini, termasuk menunda kapal pengangkut pukal yang kehilangan kuasa di luar pantai Sydney selepas talian tunda terputus dalam cuaca buruk.

Mengikut Biro Cuaca, banjir besar di Windsor, barat Sydney, adalah banjir ketiga tahun ini, dengan paras air semasa lebih tinggi berbanding yang dilihat dalam banjir awal tahun ini.

Rakaman di media sosial menunjukkan jalan dan jambatan yang ditenggelami air, manakala kakitangan perkhidmatan kecemasan menyelamatkan orang yang terkandas dari kenderaan yang sebahagiannya tenggelam dalam air yang semakin meningkat.

Seorang penduduk Windsor, Nigel Myron, berkata dia menyimpan bot jika terpaksa berpindah, namun ingin kembali ke rumahnya apabila air surut.

“Akhirnya nanti, apa yang boleh anda lakukan? Itulah yang berlaku. Kami membersihkan diri kami dari lumpur dan membina semula selepas banjir datang dan pergi,” kata Myron.- HARAKAHDAILY 5/7/22

- Advertisement -