Belajar al-Quran dalam senyap

Ustaz Abu Kahfi mengajar anak muridnya belajar al-Quran
- Advertisement -

YOGYAKARTA: Prihatin terhadap pelajar yang mengalami masalah pendengaran sering terlepas daripada pendidikan agama, Ustaz Abu Kahfi mengasaskan pesantren untuk membantu mereka belajar dan membaca kitab suci al-Quran menggunakan bahasa isyarat.

Dibuka pada 2019 di bandar Jawa Tengah ini, Rumah Tahfidz Tunarungu Putra-Putri Darul A’shom, kini mempunyai 12 kakitangan dan 115 pelajar berumur antara tujuh hingga 28 tahun dari seluruh Indonesia, negara majoriti penduduk Islam terbesar di dunia.

- Advertisement -

Abu Kahfi berharap sekolah yang diasaskannya akan memudahkan generasi akan datang mempelajari agama Islam.

“Ketika ini, golongan dewasa yang mempunyai masalah pendengaran hampir tidak mengetahui agama secara mendalam kerana sejak zaman persekolahan, mereka tidak pernah mempelajarinya,” katanya kepada Reuters sambil menyatakan bahawa minat terhadap sekolahnya tersebar dengan cepat.

Di Indonesia, kurikulum di sekolah awam menyediakan pengajaran agama yang terhad kepada kanak-kanak berkeperluan khas, iaitu bermula pada usia lapan atau sembilan tahun dan bukan di tadika seperti kebanyakan pelajar lain.

Berdasarkan kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), hanya tiga daripada 10 kanak-kanak kurang upaya di Indonesia pergi ke sekolah.

Pelajar yang mempunyai masalah pendengaran mempelajari al-Quran di Darul A’shom

Pelajar yang mempunyai masalah pendengaran biasanya mengambil masa kira-kira lima tahun untuk belajar mengaji dan menghafaz al-Quran di sekolah.

“Sekarang saya sudah boleh membaca dan menghafal 30 juz al-Quran,” kata Muhammad Farhad, seorang pelajar berusia 10 tahun yang ingin menjadi seorang ustaz pada suatu hari nanti supaya dapat menyampaikan ilmunya kepada orang lain. .

Indonesia mempunyai puluhan ribu pesantren dan sekolah agama lain yang memberikan satu-satunya jalan kepada anak-anak daripada keluarga miskin untuk mendapat pendidikan. – HARAKAHDAILY 5/7/22

- Advertisement -