KDNK: Pemerintahan PAS tunjuk prestasi baik

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu di bawah pemerintahan PAS telah menunjukan prestasi yang baik pada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, ini sekali gus membuktikan tahap kemampuan PAS dalam urustadbir kerajaan negeri.

“Ini terbukti apabila pertumbuhan KDNK bagi Kerajaan Negeri Terengganu sebanyak 3.6 peratus bagi tahun 2021 telah melepasi target sasaran awal iaitu antara 2.0 hingga 2.2,” ujarnya.

- Advertisement -

Tambahnya, dengan angka perolehan itu, menjadikan Terengganu dalam senarai antara lima negeri yang menunjuk pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan.

“Pencapaian ini juga merealisasikan kecekapan dan kemampuan kerajaan negeri memulih dan menjana ekonomi negeri melalui potensi pelaburan sebagaimana yang dirancang,” katanya yang juga Adun Alur Limbat.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada kerajaan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan dukungan dan sokongan daripada Ahli Majlis Mesyuarat Negeri, pegawai dan kakitangan kerajaan negeri serta rakyat negeri ini.

Ahmad Samsuri pada Jumaat lalu berkata, pertumbuhan KDNK yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia bagi negeri ini mencatatkan prestasi pertumbuhan yang melepasi unjuran awal kerajaan.

Katanya, pertumbuhan yang dicapai jauh melepasi unjuran yang disasarkan sekitar 2.0 hingga 2.2 peratus.

Menurutnya, pertumbuhan sebanyak 3.6 peratus berbanding -5.7 peratus pada tahun lepas mencerminkan hasil daripada pelbagai usaha banyak pihak.

Beliau menambah, pada masa yang sama, Terengganu juga berjaya merekodkan pencapaian yang baik bagi beberapa indikator dalam lima bidang tumpuan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). – HARAKAHDAILY 3/7/2022

- Advertisement -