Peristiwa bersejarah di Tanah Merah, luar biasa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, situasi di Tanah Merah semalam boleh dianggap sebagai luar biasa lebih-lebih lagi di luar musim pilihan raya.

“Alhamdulillah, semalam Perikatan Nasional Negeri Kelantan dilancarkan secara rasmi dalam satu majlis yang begitu bermakna dan bersejarah di Tanah Merah.

“Apa yang membanggakan saya ialah melihat kehadiran lebih 30,000 orang sehingga Padang Majlis Daerah Tanah Merah bertukar menjadi lautan manusia,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Menurutnya, beliau difahamkan orang ramai mula memenuhi kawasan itu sejak pagi lagi dengan pihak penganjur menyediakan pelbagai aktiviti untuk masyarakat Parlimen Tanah Merah

- Advertisement -

“Pemandangan ini pada saya boleh dianggap sebagai luar biasa lebih-lebih lagi majlis ini diadakan di luar musim pilihan raya.

“Jumlah kehadiran yang begitu ramai seumpama ini biasa hanya dapat dilihat sewaktu kempen ketika pilihan raya sahaja, tetapi semalam orang ramai membanjiri kawasan padang awam ini bagi menyaksikan program bersejarah ini,” katanya.

“Saya percaya apa yang kita lihat ini adalah petanda sokongan padu kepada PN yang bakal diterjemahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang,” katanya.

Ini, ujar beliau menjadi bukti penerimaan rakyat kepada satu gabungan parti politik yang matlamat perjuangan adalah untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih dan bebas daripada penyelewengan dan rasuah serta sentiasa prihatin terhadap nasib hidup rakyat.

“Kesepakatan dan hubungan erat yang terjalin ini sudah tentunya menjadi petanda yang cukup baik bagi PN lebih-lebih lagi kita akan berhadapan dengan pilihan raya umum tidak lama lagi,” katanya.

Beliau mengucapkan sekalung tahniah kepada Menteri Besar Kelantan merangkap Pesuruhjaya PAS negeri dan Pengerusi PN negeri, Ustaz Dato’ Bentara Ahmad Yakub yang komited dalam mendukung perjuangan PN untuk rakyat di negeri itu.

Muhyiddin turut mengucapkan terima kasih dan tahniah juga kepada Ketua Badan Pimpinan Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor serta seluruh barisan kepimpinan Bersatu negeri yang bekerja keras bagi memastikan program itu berjalan lancar.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Tanah Merah yang juga Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz selaku pengarah program yang telah berjaya menganjurkan majlis dengan cemerlang sekali.

“Insya-Allah, kesepakatan yang dapat dilihat antara parti-parti komponen PN terutamanya Bersatu dan PAS di negeri Kelantan akan terus memperkukuhkan PN dan mencetus gelombang sokongan padu rakyat kepada PN di seluruh negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/7/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!